SUBANG JAYA – Seramai 194 orang anak-anak mangsa letupan di Putra Heights menerima bantuan pakaian dan peralatan sekolah daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini.
Jumlah pelajar termasuk bukan Islam daripada 40 buah sekolah yang dikenal pasti terkesan dalam tragedi itu manakala data diperoleh dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor di pusat penempatan sementara (PPS), Masjid Putra Heights di sini.
Penerima-penerima berjumlah 134 orang iaitu 103 murid sekolah rendah beragama Islam dan 31 orang bukan Islam.
Selain itu, seramai 42 pelajar sekolah menengah beragama Islam dan 18 pelajar bukan Islam turut menerima bantuan melibatkan sejumlah 60 orang.
“YIDE memberikan dua set pakaian sekolah kepada setiap pelajar dengan kos keseluruhan RM76,000,” ujar beliau kepada wakil media selepas majlis penyerahan itu.

Mazlan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, bantuan khusus turut diberikan kepada 17 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan lapan kanak-kanak taska yang turut terkesan.
Menurut beliau, bantuan lain termasuk alat tulis dan buku juga disalurkan kepada mangsa yang baru berdaftar secara berperingkat-peringkat.
Katanya, YIDE turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dengan menyediakan sembilan pengangkutan khas untuk pelajar yang ditempatkan di masjid dan Dewan Camelia, Putra Heights. – MalaysiaGazette
















