KUALA LUMPUR – “Lebih lapan bulan saya menetap di sini, beliau adalah orang pertama datang dan bersungguh-sungguh menyediakan segala keperluan ini. Apa yang saya nampak, beliau seorang insan yang amat bermurah hati. Beliau cakap dan terus buat.”
Tidak dapat menahan sebak, Affendi Muda bagaikan tidak percaya kisahnya yang dipaparkan oleh MalaysiaGazette baru-baru ini menarik perhatian ahli perniagaan berhati mulia biar pun berbeza agama dan bangsa.
Dia kehilangan kata-kata.
Ini kerana keprihatinan Datuk Seri R. Jeyendran bukan sekadar menghulurkan bantuan barangan keperluan, sebaliknya insan yang juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan itu bersungguh-sungguh memastikan Affendi mempunyai tempat tinggal dan menawarkan pekerjaan.
Affendi yang sebelum ini tinggal di celah-celah belukar berbumbungkan kanvas kini berpindah ke rumah sewa yang dibiayai Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd. itu.
“Pakcik tidak tahu ingin ucap terima kasih rasa macam tidak layak beliau, cukuplah sekadar datang menjenguk, tanya khabar keadaan pakcik pun sudah memadai,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman baharu.
Sementara itu, Jeyendran ketika ditemui selepas pertemuan kedua dengan Affendi melahirkan rasa lega kerana Affendi kini mempunyai tempat tinggal yang lebih selamat.
Katanya, bantuan yang dihulurkan adalah atas dasar kemanusiaan lantaran tidak sanggup melihat kesengsaraan ditanggung Affendi.
Katanya, melihat keadaan tempat tinggal Affendi sebelum ini mengundang rasa bimbang terutamanya dari segi keselamatan apatah lagi Affendi merupakan merupakan Orang Kurang Updaya (OKU) yang pastinya sukar untuk menyelamatkan diri jika ditimpa bahaya.
“Saya lihat kisah pakcik Affendi ini memang saya sedih sangatlah. Tinggal dikawasan semak macam ini dipenuhi dengan pelbagai binatang tanpa sebarang perlindungan dan hanya berteduh di bawah dahan pokok serta berbumbungkan kain kanvas,” katanya.
Melihat keadaan Affendi yang uzur dan sukar untuk turun ke tempat tinggalnya di kawasan belukar yang hanya menggunakan tangga kayu yang kian reput, membuatkan Jeyendran nekad mencarikan rumah agar dia dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa.
Beliau berkata, segala kos perbelanjaan rumah sewa Affendi akan ditanggung sepenuhnya termasuklah keperluan harian lain seperti lampin pakai buang.
“Saya lihat dia sendiri suka hidup macam ini dengan mencari barangan kitar semula tetapi saya tidak suka dia duduk di bawah sana. Kita sebagai manusia, sepatutnya tidak boleh duduk keadaan macam itu,
“Saya tidak terfikir dekat Malaysia ini, kita ada tempat macam ini dan kehidupan macam ini kan. Saya cakap pada dia, saya akan bagi rumah dan dia kata setuju untuk cari rumah yang selesa dan memudahkan dia bekerja.
“Dia juga sudah bersalam dan berjanji dengan saya untuk uduk di sana. Itu pun sudah buat saya gembira dalam hati saya walaupun dia tolak tawaran untuk bekerja dengan saya. Walaupun berbeza agama dan bangsa, saya tidak mahu lihat dia susah macam ini.” ujarnya.
Sempena sambutan Aidilfitri kurang dua minggu lagi, Jeyendran turut menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan, pakaian dan wang tunai bagi membolehkan Affendi menyambut lebaran sama seperti insan lain. – MalaysiaGazette