shahrir samad src majlis peguam
Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Viral di media sosial satu dokumen sulit yang menyerupai minit mesyuarat pimpinan tertentu yang merancang untuk menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dokumen dua muka surat yang dinamakan “Laporan Political Engagement Pas Pusat” itu didedahkan di media sosial oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menerusi Facebooknya, hari ini.

Dokumen sulit itu turut memaparkan nama beberapa pemimpin dari UMNO, PPBM dan Pas, yang dikatakan sedutan dari ‘laporan risikan’ pemimpin Pas bagi tujuan menyediakan pilihan untuk strategi parti itu berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dokumen itu mendedahkan seorang presiden sebuah parti dikatakan memberitahu, penguatkuasa undang-undang negara bersetuju percepatkan kes mahkamah dan hukuman ke atas Ahmad Zahid dan Najib.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menambah, apa yang dikatakannya itu adalah sedutan dari ‘Conclusion No. 6, Laporan Political Engagement Pas Pusat.

“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat pemimpin terbabit, maka ianya membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan penguatkuasa undang-undang negara.

“Kalau betul, sudah berlaku kerosakan sistem ‘judiciary‘ dan kehakiman negara. Pendedahan laporan risikan politik Pas ini sudah lama berlaku.

“Pemimpin sebuah parti politik ini ada dipetik inginkan perbicaraan disegerakan,” katanya.

Kata Shahrir, beliau menunggu jika ada penafian atau laporan polis terhadap pendedahan laporan risikan itu.

“Sekurang-kurangnya, perdana menteri boleh tanya penguatkuasa undang-undang negara betulkah pendapat pemimpin PPBM itu. Betulkah sudah ada ‘kolusi’ antara pemimpin politik dengan penguatkuasa undang-undang negara.

“Tak susah sebenarnya kalau nak cari kebenaran dalam hal ni,” tulis beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika mengulas pendedahan dokumen berkenaan berkata, beliau serahkan kepada rakyat dan ahli UMNO untuk menilai sendiri ‘laporan risikan’ dipercayai dibuat pemimpin Pas seperti yang bocor dan tular di media sosial sejak kelmarin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Parit Keroma, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 MAC 2022. Hasni MB
Ahmad Zahid Hamidi

Beliau juga berpendapat, pendedahan melalui dokumen sulit yang tular di media sosial terutama membabitkan ‘Conclusion No. 6’ itu adalah sebagai ketentuan Tuhan.

“Perancangan manusia dan perancangan Allah. Terpulanglah kepada rakyat dan ahli UMNO menilainya sendiri.

“Saya berserah hanya kepada Allah dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya yang Maha Agung lagi Maha Kuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menggesa individu yang terlibat dalam dokumen sulit itu tampil membuat penafian sekiranya ia tidak benar.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery Cheek

Kata beliau, dokumen itu turut mendedahkan perancangan pihak terbabit untuk segera memenjarakan Presiden dan bekas Presiden UMNO, tindakan ke atas Timbalan Presiden UMNO, menolak pindaan Perlembagaan UMNO untuk pemilihan parti hanya selepas PRU dan juga merancang supaya MOU 2.0 diadakan bagi melambatkan PRU.

Katanya, oleh kerana ia melibatkan kepimpinan parti yang bersama kerajaan, elok ada penafian segera sekiranya ia tidak benar.

“Isu ini seakan ‘Watergate skandal’ pengintipan di Amerika Syarikat tahun 1972. Wikileak ialah pendedahan dokumen sulit antarabangsa sejak tahun 2006.

“Apakah akan wujud Pasleak pula kalau tidak ada penafian dari seorang menteri besar di negeri Pantai Timur sebagai tokoh penting dalam dokumen ini?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Begini rupanya juga yang berlaku masa ph dahulu pun. Tapi kerajaan ph tak ada perisik sebab tak ada pengalaman jadi kerajaan . Sekarang ph patut sedar dan bangun dari tidur lena yang boleh jadi pengajaran masa depan .

Comments are closed.