PUTRAJAYA – Bermula 1 Mei ini, kerja-kerja memproses pemeriksaan kontena yang tiba di Pelabuhan Klang perlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu ini bagi menangani isu kontena yang tersadai selama bertahun-tahun di Pelabuhan Klang.

Selain itu, langkah tersebut dapat mengurangkan waktu pemeriksaan yang melibatkan pelbagai agensi, antaranya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Penguatkuasaan tempoh itu juga dapat memberi penjimatan kos  penghantaran barangan bagi industri yang berkaitan.

“Kita perlu menguruskan dengan baik. Kalau kita dapat kurangkan waktu, kita dapat kurangkan kos menjalankan sesuatu perniagaan jadi penghantaran barangan juga boleh dijalankan dengan efisien.

“Yang penting adalah waktu penghantaran. Kalau tidak, ia akan mendatangkan mudarat kepada industri tertentu kerana perlu tunggu logistik.Kalau ia tidak dapat diintergrasikan maka kelewatan sehari, dua hari akan melibatkan kerugian dari segi pengeluaran,” katanya ketika sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Kata Ka Siong, tempoh proses untuk agensi membuat siasatan dan pemeriksaan lanjut pula dibenarkan sehingga 30 hari sahaja.

Walau bagaimanapun jelas beliau, semua agensi dan pihak yang berkepentingan perlu saling bekerjasama khususnya melaksanakan SOP ini seiring dengan teknologi iaitu menyediakan permohonan secara dalam talian bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kontena.

“Jadi kita telah memperihalkan setiap proses itu perlu diselesaikan tiga hari tapi perlu kerjasama semua agensi supaya penyerahan dokumen secara online dengan cepat. Bukan melibatkan agensi sahaja tetapi juga pihak yang berkepentingan,” tambah  beliau.

Terdahulu Ka Siong berkata, sebelum ini tidak ada tempoh masa yang ditetapkan bagi menyelesaikan proses pemeriksaan kontena yang tiba di pelabuhan tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga bersedia untuk memperluaskan pelaksanaan SOP baharu berkenaan ke pelabuhan-pelabuhan lain sekiranya terbukti keputusan berkenaan efektif.

“Pelabuhan Klang ini kebetulan pelabuhan yang paling besar dalam negara dan melibatkan banyak barangan import dan eksport, maka kita mulakan di sini.

“Saya rasa ia merupakan satu kisah kejayaan kalau dapat kita teruskan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast