Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin di Hospital Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Pembukaan Institut Endokrin yang merupakan fasiliti kesihatan baharu di sini diharap dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada rakyat untuk mendapatkan akses yang lebih luas terhadap perkhidmatan kesihatan awam, tetapi juga kepada kakitangan kesihatan yang bertugas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keperluan dan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan rawatan di Unit Endokrin Hospital Putrajaya dan juga di seluruh negara telah menyumbang kepada idea penubuhan Institut Endokrin Hospital Putrajaya.

“Keputusan untuk membina Institut Endokrin ini adalah selaras dengan tekad kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan khusus di bawah perkhidmatan perubatan endokrinologi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Institut Endokrin Putrajaya, di sini hari ini.

Khairy berkata, endokrinologi merupakan bidang kepakaran yang memberikan fokus kepada diagnosis dan rawatan gangguan yang berkaitan dengan hormon di dalam badan manusia.

Secara amnya beliau berkata, hormon endokrin adalah penting dalam penyelenggaraan metabolisme, pembiakan, persepsi, pergerakan, dan pernafasan untuk badan.

Bidang endokrinologi juga ujarnya, melibatkan gangguan endokrin yang paling biasa dihidapi oleh penduduk di negara ini iaitu diabetes melitus, yang berkaitan dengan gangguan kelenjar pankreas.

“Saya turut dimaklumkan, gangguan pada mana-mana hormon ini boleh memberi kesan buruk kepada kualiti dan kuantiti hayat kita.

“Selain Unit Endokrin di Hospital Putrajaya ini, KKM juga telah memperluaskan perkhidmatan perubatan endokrin dengan penubuhan pusat rujukan endokrin di hospital-hospital negeri seperti di Pulau Pinang pada tahun 2003, Sarawak (2004) dan Sabah (2006).

“Di samping itu, lawatan pakar perubatan endokrin (Visiting Endocrinology Services) juga telah dimulakan di negeri-negeri lain sehingga ke hari ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast