M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri M Saravanan menasihatkan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai buruh paksa sekiranya beliau tidak memahami isu tersebut.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau tidak pernah memandang ringan isu buruh paksa dan komited dengan berbincang dengan semua pihak terbabit.

“Saya tahu apa yang saya cakap, pemahamaan saya cukup teliti dan saya tahu apa dilakukan oleh saya bukan cakap kosong atau retorik,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Ramasamy supaya Saravanan tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan meminta Amerika Syarikat (AS) atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyiasat amalan buruh paksa di Malaysia.

Beliau berkata bukan tugas AS atau ILO untuk menyiasat atau campur tangan terhadap amalan buruh di sini tetapi ia adalah tanggungjawab kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia.

Awal minggu ini, Saravanan meminta ILO dan Kedutaan AS di Malaysia memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mencari jalan penyelesaian sebelum produk Malaysia disekat memasuki negara berkenaan.

Berikutan itu Saravanan, mencabar kedua-dua pemimpin DAP itu untuk berdebat tentang isu buruh paksa bagi membolehkan rakyat menilai isu tersebut.

“Sejak menyandang jawatan Menteri Sumber Manusia, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memastikan semua isu ditangani secara sistematik, antaranya pengenalan sistem e-gaji, penguatkuasaan berterusan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta melaksanakan ratifikasi Protokol 29 kepada Konvensyen Buruh Paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.

Tambah beliau, beliau boleh mengeluarkan fakta apa yang telah dilakukannya dan tidak mahu membuang masa melayan kerenah Ramasamy. – MalaysiaGazette

Pemimpin DAP berterusan serang Saravanan berhubung isu buruh paksa