Calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

KUALA LUMPUR -Nama Dr Sathia Prakash Nadarajan terkenal dalam kalangan masyarakat setempat Hulu Selangor khasnya di Rawang kerana sentiasa tampil membantu mereka terutamanya ketika pandemik Covid-19 sejak dua tahun kebelakangan ini

Kini pelopor rangkaian klinik SP Care Group membuat kejutan ‘manis’ apabila melahirkan hasrat menyertai politik atas kehendak penyokong dan penduduk setempat bagi memastikan kebajikan mereka terus terjamin pada masa depan kelak.

Bagi mereka, Dr Sathia Prakash itu umpama ‘saviour’ yang boleh membantu merencanakan masa depan jauh lebih baik.

Mengakui keputusan itu memberi kesan besar kepadanya, anak posmen itu sedar kuasa politik sebenarnya mampu melakukan sesuatu yang mustahil seandainya dilaksanakan dengan betul dalam agenda memperjuangkan rakyat.

“Saya sedar ketika turun padang, bertemu masyarakat keluar masuk kawasan pedalaman di sekitar Hulu Selangor, rata-rata mereka bukan sahaja melalui satu fasa sukar kerana pandemik malah banyak lagi permasalahan yang memerlukan penyelesaian untuk jangka panjang dan berkekalan.

“Sampai bila kita hendak terus menyumbang barangan? Kita perlu ajar mereka cara untuk berdikari, bak kata pepatah Inggeris, ‘teach them how to fish not give them fish’, penyelesaian terbaik adalah sesuatu yang kekal jangka panjang. Itu yang membuatkan saya berfikir panjang. Sudah tentu saya memilih PKR kerana sejak awal penubuhan parti itu adalah kerana ‘reformasi’.

“Saya masih setia kepada perjuangan itu maka apabila saya yakin saya benar-benar sudah bersedia maka saya cuba nasib dengan bertanding jawatan Ketua Cabang di  Hulu Selangor kerana saya juga anak jati sini, saya tahu apa yang sedang dilalui oleh rakyat di sini.

“Saya membesar di sini, saya pernah melalui saat-saat sukar dan dibelenggu kemiskinan namun ayah dan ibu saya tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk saya dan adik hidup melarat sebaliknya mereka bersusah payah memberikan pendidikan kepada kami.

“Apa yang anda lihat pada Sathia Prakash pada hari ini sebenarnya adalah semangat juang tinggi yang mahu keluar dari kempompong kemiskinan kemudian bukan terus hidup dalam kejayaan dan kekayaan ini sebaliknya mahu kembali memberinya kepada umum supaya semua berjaya dalam perjuangan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk makluman sejak hampir dua tahun, nama SP Care dan Dr Sathia Prakash agak popular dalam kalangan penduduk setempat kerana sentiasa tampil menghulurkan pelbagai sumbangan dan bantuan bencana dengan begitu cepat.

Lebih menarik apabila bukan sahaja Dr Sathia Prakash sebaliknya pasukan SP Care beliau yang terdiri dari pelbagai latarbelakang juga akan bersama-sama meredah hutan dan kawasan pedalaman terutamanya lokasi Orang Asli bagi menganjurkan Kem Perubatan secara percuma.

Beliau juga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan menggunakan kemudahan di kliniknya mereka mengetuk setiap pintu rumah keluarga daif bagi menyerahkan sumbangan makanan asas dan ubat-ubatan.

Tidak lupa juga ketika musim banjir, hampir semua lokasi SP Care kunjungi bermula di Sri Muda Shah Alam sehinggalah ke negeri-negeri Pantai Timur, bukan sahaja bekalan makanan, ubat-ubatan, wang ringgit malah peralatan bagi memudahkan merentas banjir telah disediakan oleh mereka tidak kira warna kulit atau agama.

Kata Dr Sathia Prakash, beliau tidak akan sesekali menyesal memilih untuk menyertai politik bagi meneruskan perjuangan melakukan kebajikan dalam pelbagai aspek sebaliknya pasti semua yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri.

“Kerjaya doktor ini sememangnya memberikan kita satu kelebihan mendekati semua orang, mendengar permasalahan mereka, luahan mereka dan kemudian mengubati mereka dengan ubat paling mujarab bagi memastikan kesakitan itu hilang.

“Politik juga begitu, ada juga segelintir memberi peringatan dan nasihat kepada saya betapa kotor dunia itu namun pada saya itu persespi kerana politik itu bukan satu kerjaya tetapi satu bentuk perkhidmatan untuk rakyat, jadi wakil rakyat untuk memastikan setiap suara itu diwakili.

“Saya hendak terus berkhidmat dengan lebih lagi menggunakan platform politik ini, saya yakin akan dapat melakukannya dengan cukup cemerlang kerana sokongan untuk saya ini datangnya dari warga masyarakat yang saya kenali,” ujarnya.

MalaysiaGazette difahamkan Dr Sathia Prakash bakal berdepan saingan sengit tiga penjuru iaitu penyandang tiga penggal yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui pada pertandingan ini selain satu lagi calon, Azizan Zakaria.

Pengumuman rasmi barisan ‘line up’ Dr Sathia Prakash akan diadakan di Wisma SP Care Antara Gapi pada Ahad ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast