M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Isu buruh paksa sejak beberapa hari lepas heboh diperkatakan terutamanya dari blok pembangkang khasnya pemimpin DAP yang tidak membazir masa sebaliknya berterusan lakukan sindiran dan serangan terhadap Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri M Saravanan.

Semalam, mantan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menuduh Saravanan tidak mampu tangani isu buruh paksa sehingga terpaksa meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia untuk memaklumkan kepada agensi berkaitan sebelum menyiasat perkara itu.

Bagaimanapun Saravanan menjawab sindiran Kulasegaran bahawa kerajaan kini terpaksa bergelut dengan isu buruh paksa sehingga ianya mengambil masa untuk diselesaikan kerana pengurusan tidak cekap ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir selama 22 bulan.

Kata Saravanan dalam laman Twitternya, isu ketidakupayaan tidak timbul sebaliknya KSM terpaksa mengambil masa lama kerana ‘sampah’ di tinggalkan oleh Kulasegaran ketika menerajui kementerian tersebut.

“Isu buruh paksa dan gaji minimum sedang kucar-kacir dan kita sedang maju ke hadapan,” ciap Timbalan Presiden MIC itu.

Tangkap layar ciapan Kulasegaran hari ini.

Kulasegaran membalas balik perkataan ‘sampah’ itu di Twitternya hari ini.

”Sebenarnya peninggalan sampah yang dimaksudkan oleh Datuk M Saravanan itu ialah hasil BN teraju negara selama lebih 60 tahun kemudian gulingkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton,” tulis beliau.

Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pula tampil menuduh Saravanan terdesak kerana tidak memahami sepenuhnya fenomena buruh paksa dan bagaimana ia harus dibendung.

“Memandangkan kerajaan masih bergerak meneruskan pelaksanaaan buruh paksa, maka persoalan penghapusannya masih diragui. Kebergantungan kepada negara asing atau organisasi antarabangsa bukanlah cara tepat untuk menghapuskan kutukan buruh paksa.

“Saravanan harus mengambil masalah ini secara serius dan menyiasat fenomena secara lebih terperinci untuk mengetahui sebab wujudnya buruh paksa sebelum menumpukan perhatiannya kepada penyingkiran buruh paksa itu,” kata pemimpin DAP Pulau Pinang itu dalam Facebook beliau.

religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

Baru-baru ini, Saravanan mendedahkan negara ini komited menyelesaikan isu buruh paksa dan memaklumkan permintaan itu kepada ILO dan Kedutaan AS.

“Sebelum ini, saya menghadapi beberapa kesukaran kerana beberapa produk keluaran Malaysia diharamkan atas faktor buruh paksa. Namun, sehingga kini tidak menerima sebarang maklumat lanjut berkaitan siasatan berkenaan.

“Berikutan itu, ia menyukarkan kementerian untuk mengambil tindakan terhadap majikan (yang mempunyai buruh paksa). Walaupun saya sudah menjalani siasatan mengikut 11 indikator sedia ada, kita masih lagi tidak dapat mengesan kesalahan mereka (majikan) ini,” kata Saravanan beberapa hari lepas. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast