Suspek bersama rokok seludup yang dirampas PGA dalam dua serbuan berasingan di kawasan Seri Kembangan dan Kajang semalam.Ihsan PGA

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rampasan sebanyak 3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM305,348.

Rampasan itu dilakukan menerusi dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Seri Kembangan dan Kajang, Selangor semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, rampasan itu berjaya menumpaskan sindiket yang disyaki aktif mengedar rokok seludup berkenaan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Dalam serbuan pertama pada jam 10.30 pagi itu, pasukan PGA telah menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 24 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun.

“Enam buah kenderaan yang di parkir di Pangsapuri Putra Impian, Seri Kembangan turut dirampas.

“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan dan merampas 3,030 karton rokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, rampasan itu itu bernilai RM268,764 manakala nilai cukai berjumlah RM409,570.

Nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan RM943,054.

Rizal menambah, dalam serbuan kedua pula, pihaknya berjaya menahan seorang lagi ahli sindiket yang merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Berlian, Sungai Jelok, di Kajang sekitar jam 6 petang.

“Polis menemui 247 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam rumah terbabit serta 73 karton lagi disembunyikan di dalam kenderaan,” katanya.

Kenderaan lelaki terbabit bersama telefon bimbit pelbagai jenama juga dirampas.

Nilai rampasan barang-barang sebanyak RM36,584 manakala anggaran nilai cukai rokok pula berjumlah RM42,836.

Tambahnya, nilai cukai kesemua 3,359 karton rokok yang dirampas berjumlah RM452,496 manakala jumlah keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan bernilai RM943,054 termasuk tujuh kenderaan dan lima telefon bimbit.

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Kajang untuk membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette