Noh meneliti dan membaca aduan usahawan berhubung skim pembiayaan MPPK 2.0.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) masih menunggu laporan dari Bank Rakyat berhubung skim pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK) 2.0.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, semua pemohon diminta bersabar dan beliau faham ramai usahawan perlu dibantu.

“Ramai yang tanya pasal pembiayaan MPPK 2.0. Saya sedang menunggu laporan berkenaan skim ini dari Bank Rakyat. Saya faham ramai usahawan perlu dibantu.

“Petang tadi (semalam) mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam mesyuarat itu, kerajaan menyatakan keseriusan dalam usaha membantu rakyat dalam semua perkara. Kebajikan usahawan sentiasa dalam hati saya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Noh, permohonan bagi skim MPPK yang dibuka Mac lalu keseluruhannya melibatkan peruntukan RM48.52 juta.

Usahawan yang berminat boleh memohon di Bank Rakyat dengan satu daripada syarat dipermudahkan ialah mengetepikan proses agensi pelaporan kredit CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Ini, katanya, sebagai usaha membantu usahawan berkenaan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

Pembiayaan itu tidak mempunyai bayaran faedah dan diberikan moratorium selama setahun dengan perniagaan tidak formal boleh meminjam RM10,000, manakala bagi perniagaan mikro sehingga RM50,000. – MalaysiaGazette