KUALA LUMPUR – Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak, Bandar Baru Sentul di sini risau dengan kemudahan lif yang uzur dan acapkali berdepan kerosakan yang menyusahkan penduduk.
Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette mengadu tentang lif yang sering tergendala dan rosak sehingga penduduk sukar untuk bergerak untuk melakukan urusan harian.
Ada yang terpaksa menggunakan tangga walaupun tinggal di tingkat 17.
Ketua Blok 29 PA Seri Awam, Khairol Faddil berkata, sepanjang menetap selama 29 tahun, masalah kerosakan lif kali ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang kerja baik pulih yang mampu mengekalkannya terus efisien.
Jelasnya, apabila pihak mereka membuat aduan kepada pihak penyelenggaraan untuk membaiki lif, dalam lebih kurang setengah jam lif tersebut akan kembali kepada keadaan asal.
Namun ia rosak semula kerana lif sudah usang dan dimamah usia.
“Maintenance lambat.. bila dia repair, dia ambil spare part dari tingkat lain dan ganti di tingkat yang rosak. Bila sudah baiki, dalam setengah jam rosak balik.
“Saya tak tahu apa mereka buat? Bangunan ni dah 30 tahun.., lif jenama Fujitech ini pun barang old school, patutnya sudah kena tukar baharu” katanya apabila ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Katanya, pada Februari lalu, rungutan mengenai lif sahaja sudah mencecah 12 aduan namun penduduk terpaksa berdepan masalah sama.
Malah ada sahabatnya yang kehilangan nyawa pada 1993 kerana tersepit pada pintu lif di Blok 33 PA Seri Perak.
“Pernah ada kes kematian pasal sangkut, jangan cakaplah.. Blok 29 pecah rekod paling banyak kes kerosakan lif. Kalau ada jenazah pun kita terpaksa angkat pakai kain, memang tak lepas nak bawa keranda masuk dalam lif.
“Macam mana pula dengan bangsa-bangsa lain yang perlu menggunakan keranda? Meraka terpaksa tegakkan keranda di dalam lif” ujarnya.
Bagi Daniel Phang Kim Onn, 34, yang tinggal di situ hampir 15 tahun, beliau sudah jemu dengan ‘perangai’ lif yang sering rosak.
Beliau terpaksa memilih untuk menggunakan tangga kerana menurutnya, tempoh membaiki lif tersebut memakan masa sehingga mencecah tiga hari.
Pintanya, pihak berkuasa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu tukar sepenuhnya lif yang sudah usang dan uzur itu.
“Kesianlah kita tengok mak cik-mak cik yang tinggal di tingkat 17, terpaksa tunggu di tangga sampai lif tu sudah elok” jelasnya.
Bagi Asih Ahmad, 67, pula sempat merayu kepada DBKL untuk menukarkan lif baharu kerana sudah banyak kali dia sendiri tersangkut di dalam lif dan tidak sanggup menggunakan tangga.
Beliau sanggup duduk di rumah daripada menggunakan tangga mengenangkan kudratnya yang tidak larat untuk bergerak.
“Kalau dah dalam keadaan terpaksa tu.. mak cik terpaksa call anak, merangkak jugalah turun tangga.”
“Mak cik ini pun dah uzur, tolonglah baiki lif, bagi yang baharu.. Kasihankanlah kami yang warga emas ni” katanya.
Siti Amirah Shahrilsham, 25, pula pernah trauma kerana pernah tersangkut di dalam lif sewaktu mengandung.
Beliau yang menetap di situ hampir lebih 20 tahun berkata, dirinya yang mempunyai masalah lelah menyebabkan situasi cemas berlaku apabila tersangkut dalam lif.
Katanya, ada juga satu ketika beliau terpaksa menggunakan tangga untuk naik dan turun tingkat 10 sehari sebelum bersalin.
“Sehari sebelum bersalin itu kena naik turun tangga tingkat 10.Esoknya pula, anak ini keluar,” katanya sambil mendukung anaknya. – MalaysiaGazette.