PEKAN – Seorang pekerja balak warganegara Indonesia mengamuk dan membakar sebuah kereta polis di rumah kongsi di Kampung Selengkong Nenasi, Pekan dalam kejadian malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, seorang anggota polis sedang bertuga masih berada di dalam kenderaan terbabit ketika suspek membaling objek menyala ke arah kenderaan polis.
Terdahulu katanya, suspek juga bertindak memukul dan mencederakan dua anggota polis semasa sesi pemeriksaan dan soal tanya terhadapnya selepas menerima aduan awam.
“Polis menerima panggilan dan makluman dari seorang lelaki Cina mengatakan pekerja Indonesia sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi pekerjanya di Tanah Matau Balak di Kampung Selengkong Nenasi pada pukul 11 malam tadi.
“Hasil dari maklumat tersebut, tiga anggota Balai Polis Nenasi Pekan telah pergi ke tempat kejadian dengan sebuah kenderaan pasukan telah menemui suspek seorang diri di kawasan rumah kongsi tersebut.
“Suspek dikenali sebagai Asri juga bertindak agresif dengan memukul dan mencederakan sarjan mejar dan seorang anggotanya semasa pemeriksaan dan soal tanya dilakukan terhadap suspek,” katanya.
Jelasnya suspek berusia 30-an telah masuk ke rumah kongsi dan mengambil objek menyala seperti api dan membalingnya kepada kenderaan polis.
Kemudian anggota polis tersebut keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri dan suspek terus melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran.
Bagaimanapun tiada insiden kehilangan nyawa berlaku dan kesemua anggota pasukan hanya mengalami luka kecil.
Mohd Zaidi berkata, suspek sehingga kini masih gagal dikesan dan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membakar kenderaan pasukan dengan menggunakan api.
Sehubungan itu Ops Tutup dilaksanakn untuk mengesan suspek di sekitar kawasan tempat kejadian turut dibantu oleh pasukan  K9 dan D10 IPK Pahang. – MalaysiaGazette