Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bahang perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli semakin dirasai muktahir ini.

Apa tidaknya, sudah bermula bibit-bibit ‘perang mulut’ antara kedua-dua mereka dizahirkan hari ini.

Ia ekoran satu kenyataan Rafizi yang mendakwa beliau pernah berkorban demi membantu Saifuddin Nasution ketika ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Menjawab perkara itu, Saifuddin mengakui beliau tewas pada PRU-13 namun bertindak kekal dalam parti dan tidak menetap di Jakarta, Indonesia.

“Selepas pemilihan parti 2014 , Rafizi menjawat Naib Presiden dan Setiausaha Agung. Hampir dua tahun selepas itu yakni November 2016 saya kembali dilantik oleh Dr Wan Azizah menggantikan Rafizi yang berdepan kes-kes mahkamah.

“Rafizi kata, dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun? Jawatan Penasihat Ketua Menteri pula yang saya pegang selama setahun, lebih kepada keperluan strategik ketika itu dan tidak ada kena mengena dengan Rafizi yang ingin “membantu “ sahabatnya yang “tidak ada kerja” selepas kalah pilihan raya,” katanya menjawab kenyataan Rafizi semalam.

Rafizi ketika siri kempennya di Pulau Pinang mendakwa beliau memberikan laluan kepada Saifuddin selepas tewas pada PRU-13.

Memetik laporan FMT, Rafizi memujuk Saifuddin kembali aktif dalam politik susulan kekalahannya dalam pilihan raya tahun 2013.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa turut memberi laluan kepada Saifuddin untuk menjadi Setiausaha Agung PKR, jawatan yang kekal disandang Saifuddin sehingga kini.

Malah Rafizi turut menggesa Saifuddin tidak mengambil tindakan ingin memalukan orang lain dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk peribadi.

Kenyataan merujuk Saifuddin berkenaan timbul susulan komen pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden itu, baru-baru ini mengulas ketiadaan Rafizi selama dua tahun daripada politik yang mana mencetuskan kritikan terhadap Rafizi menghilangkan diri ketika parti memerlukannya.

Bagaimanapun, jelas Saifuddin, beliau menyambut baik percubaan Rafizi menjawab isu “bercuti” dan tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

“Saya akan sentiasa menghormati Rafizi sebagai seorang sahabat seperjuangan. Saya yakin pertandingan timbalan presiden ini tidak akan mencarikkan silaturahim.

“Biduk lalu kiambang bertaut. Selesai pemilihan ini, ayuh kita berdua berganding bahu mempersiapkan parti mendepani pilihanraya ke 15 dengan tekad masuk untuk menang!,” kata Saifuddin lagi. – MalaysiaGazette