KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan kerajaan agar mengkaji kos lain yang perlu ditanggung sebelum mempertimbangkan dan membenarkan penanaman ketum untuk tujuan eksport.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan terpaksa berbelanja lebih RM500 juta setahun untuk 36,000 penagih dadah yang ditempatkan di pusat Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Ada pihak menganggap menanam pokok ketum boleh meraih keuntungan RM180 juta setahun. Namun, kita perlu juga meneliti dan mempertimbangkan kos-kos lain selain daripada keuntungan yang disasarkan daripada ketum.
“Bayangkan di negara kita terdapat 130,000 penagih dadah dan sekitar 36,000 orang daripadanya sedang menjalani program rehabilitasi di AADK.
“Kos purata yang dibelanjakan untuk seorang penagih adalah RM45 dan untuk setahun ia sudah mencecah melebihi RM500 juta,” katanya dalam sidang di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata, perbincangan mengenai kebenaran penanaman ketum dan hemp bagi tujuan perubatan akhirnya mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.
Katanya Kabinet tidak mempunyai halangan dan sudah memberikan kebenaran untuk satu perbincangan dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung kelulusan tanaman berkenaan yang hanya diperuntukkan untuk tujuan perubatan.
Menurut Ayob Khan, selain itu kerajaan juga perlu meminda beberapa akta antaranya Akta Racun 1952 dan Kanun Tanah Negara bagi membenarkan ketum dihalalkan di sisi undang-undang.
Kata beliau, ini kerana terdapat undang-undang di beberapa negeri melarang penanaman ketum manakala terdapat negara yang membenarkannya.
“Penanaman pokok ketum tidak salah, tetapi memetik, memproses, menjual dan menggunakannya adalah salah di sisi undang-undang.
“Lagipun isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mana ia memerlukan pindaan undang-undang tanah negeri masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini tiada sebarang data klinikal mengenai kesan penggunaan ketum, malah ketum mengandungi bahan psikoaktif yang boleh menyebabkan seseorang leka dan lalai.
“Jika hendak meluluskan pun, kita kena kaji aspek siapa akan dibenarkan dan kawasan mana selain pandangan pakar penyelidik perubatan yang mana sudah tentu ia akan mengambil masa yang lama sebelum tampil dengan satu keputusan muktamad nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette