Seorang wanita menjalani ujian saringan susulan peningkatan kes Covid-19 di Beijing. - Foto Getty Images

BEIJING – Beijing memulakan ujian besar-besaran kepada berjuta-juta penduduknya selepas peningkatan kes Covid-19.

Daerah Chaoyang melaporkan 26 kes pada hujung minggu – jumlah tertinggi setakat ini dalam lonjakan terbaharu di Beijing.

Pada masa sama, orang ramai beratur panjang di luar pasar raya dan kedai walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

Ia berlaku di tengah-tengah kebimbangan Beijing akan menghadapi situasi yang sama dengan Shanghai, yang telah menyaksikan kira-kira 25 juta orang dikurung di rumah mereka selama berminggu-minggu.

Kesemua 3.5 juta penduduk di daerah Chaoyang yang terbesar di bandar itu akan menjalani tiga pusingan ujian besar-besaran, menurut notis oleh pasukan pencegahan penyakit di bandar itu.

Berita itu mendorong penduduk bergegas untuk menyimpan bekalan penting, dengan gambar-gambar di media menunjukkan rak pasar raya kosong dan orang ramai beratur di kaunter.

Pasar raya-pasar raya utama Beijing turut melanjutkan tempoh operasi bagi memenuhi lonjakan permintaan.

“Tidak pernah terfikir saya akan pergi ke pasar pada awal pagi…apabila saya sampai di sana, semua telur dan udang telah habis dan semua daging juga kehabisan,” kata seorang pengguna Weibo di Shanghai, sebelum menambah dia hanya dapat beli beberapa sayur-sayuran sahaja.

Media kerajaan, The Global Times melaporkan, syarikat makanan segar Beijing telah diarahkan untuk meningkatkan bekalan barangan runcit seperti daging, telur ayam dan sayur-sayuran.

Mereka juga memetik pakar kesihatan sebagai berkata, keputusan ujian besar-besaran akan memberi gambaran sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan langkah lebih lanjut, seperti menyekat pergerakan penduduk yang dilakukan di beberapa kawasan.

Secara berasingan, Pang Xinghuo, Timbalan Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Beijing, memberitahu akhbar China Daily bahawa jumlah kes di Beijing dijangka meningkat pada hari-hari berikutnya. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-asia-china-61212)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast