Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet Sdn. Bhd, Ismail Mohd Noor bergambar selepas ditemubual mengenai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Sistem lapuk dan menyusahkan majikan.

Itu antara tuduhan yang dilemparkan terhadap platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dikendalikan oleh BESTINET Sdn Bhd.

Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas serta telah mengelirukan banyak pihak, Ketua Pegawai Eksekutif BESTINET, Ismail Mohd Noor tenang memberi penjelasan satu persatu.

Beliau yang ditemui MalaysiaGazette berkata, BESTINET adalah penyedia sistem penyelesaian berpusat kepada majikan yang memerlukan pekerja asing dan tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang permohonan.

FWCMS yang dikendalikan BESTINET, katanya, merupakan sebuah platform pemudah cara kepada kerajaan yang mengendalikan permohonan pekerja asing oleh majikan berbanding sistem manual sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet Sdn. Bhd, Ismail Mohd Noor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2022.

Menurut Ismail, tindakan menyalahkan FWCMS sebagai lembap dan tiada guna adalah tidak relevan sama sekali kerana sistem yang disediakan pihaknya bertujuan memudahkan majikan membuat permohonan dan menghapuskan segala masalah sebelum ini terutamanya kerenah birokrasi.

“Sistem FWCMS bukan untuk beri kelulusan. Sistem ini adalah suatu platform bagi proses kelulusan. Namun, platform adalah dikendalikan dan/atau diuruskan oleh manusia. Sekiranya, permohonan dimasukkan lambat ke dalam sistem maka, bergantung kepada faktor manusia.

“Mesti ada sebab musabab mengapa permohonan majikan lambat diluluskan oleh pihak berkuasa. Seperti yang diterangkan sebelum ini, sistem ini hanya berperanan sebagai platform untuk membantu dalam proses permohonan yang dalam talian sepenuhnya,” katanya.

Menjawab mengenai dakwaan itu, Ismail berkata sistem yang menjadi tranformasi kepada lanskap pengurusan pekerja asing di Malaysia itu dilaksanakan untuk memastikan kepatuhan dari segi permohonan dan kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet Sdn. Bhd, Ismail Mohd Noor ketika menerangkan mengenai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2022.

Dalam temu bual itu, Ismail menjelaskan FWCMS tidak membuat kelulusan langsung dan proses itu masih dilakukan oleh agensi berkaitan mengikut syarat-syarat sedia ada.

“Dengan pelaksanaan FWCMS kita buang semua masalah yang timbul (birokrasi, penindasan, penipuan dan buruh paksa). Ini telah terbukti di mana proses kelulusan yang cepat, tiada kemasukan data dan tanpa ketirisan, kelulusan hari yang sama dan pekerja boleh datang bulan yang sama.

“Malah kita juga dapat elakkan masalah keselamatan sebab dengan adanya proses biometrik, yang sampai adalah orang yang sama.

“Dari segi keselamatan kita ada jaminan sebab mereka sudah ada visa dan majikan yang tunggu mereka, juga faktor kesihatan dan pematuhan sebab majikan kena patuh beli insuran untuk pekerja asing mereka.

“Mereka juga kena pergi ke pusat kesihatan malah tidak akan ada lagi penipuan dalam laporan perubatan,” katanya lagi.

Menurut beliau, pencapaian paling menarik sejak FWCMS diperkenalkan adalah kejayaan mendigitalkan 12 peringkat permohonan untuk mendapatkan pekerja asing sekaligus memendekkan tempoh mendapatkan tenaga kerja dari negara sumber.

Sistem biometrik sepenuhnya pula menyukarkan mana-mana pihak untuk memalsukan dokumen pekerja asing seperti mana yang pernah terjadi sebelum ini misalnya dalam laporan kesihatan yang dibuat secara tidak telus.

Dalam pada itu, FWCMS yang telah menerima Anugerah Penyelesaian Digital Terbaik Dunia pada 2017 oleh Anugerah World Summit di Vienna, Austria jelas mempunyai penyelesaian bersepadu dan holistik dalam menangani isu kemasukan pekerja asing di negara ini.

Ini kerana, setiap permohonan yang dibuat oleh majikan berhubung kait antara satu sama lain dan tidak boleh berjalan serentak.

“Sistem permohonan dibuat dalam talian sepenuhnya, malah sistem akan beri peringatan tiga bulan untuk perbaharui permit kerja dan pasport pekerja asing.

“Sistem ini juga mengelakkan fungsi rasuah apabila tidak ada lagi proses bersemuka dan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian,” jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, katanya, pengurusan pekerja asing tidak melihat dari perspektif Malaysia sahaja supaya proses pengambilan dapat diselaraskan dengan negara sumber kerana menyamai standard yang dibuat di negara ini lantaran segala urusan melibatkan rentas sempadan.

Untuk rekod, sistem ini dilaksanakan pada tahun 2013 secara ‘proof of concept’ (pembuktian konsep) yang mana bertujuan membanteras pemerdagangan manusia, penipuan dokumen, menjaga kebajikan pekerja dan menjaga kepentingan majikan.

Malah ia juga diakui boleh menghapuskan sistem orang tengah dalam pengambilan pekerja asing.

Baru-baru ini Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan FWCMS dan mendakwa daripada 475,678 permohonan majikan untuk mendapatkan pekerja asing melalui sistem berkenaan, hanya 2,069 yang diluluskan sehingga kini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast