Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Berbuka Puasa dan Sesi Suai Kenal bersama media i Restoran Ikhwan Delight, Kampung Sungai Penchala. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2022.

PETALING JAYA – DAP menegaskan tiada sebarang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya wujud keputusan baharu berhubung perkara tersebut, ia perlu dimuktamadkan di peringkat Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

“Seperti yang saya katakan pandangan dan pendirian kita seperti sebelum ini, siapa boleh dirunding dan sebagainya. Namun jika ada apa-apa keputusan baharu harus diputuskan oleh Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

“Setakat ini, kita tak rasakan ia ada ruang untuk berunding (dengan PH), itu jelaslah, saya pun dah nyatakan banyak kali pendirian itu. Saya tidak tahulah apa yang dimaksudkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu terpulang kepada dia,” katanya pada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sesi Sua Kenal Anthony Loke Siew Fook bersama media.

Sebelum ini, Bersatu seolah -olah memberi bayangan bersedia untuk menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berkata, rundingan ke arah membentuk kerjasama itu sudah dibuat pada peringkat awal dan beliau melihat wujud petanda memberangsangkan.

Katanya, Bersatu mengamalkan sikap terbuka untuk duduk berunding dengan mana-mana parti bagi mencari formula bersifat menang-menang antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rundingan kerjasama dengan parti pembangkang, Ahli Parlimen Seremban itu mengakui ada usaha untuk merapatkan dengan semua pihak, namun ia merupakan satu proses yang berlanjutan.

“Seperti di Parlimen, kita mengajak semua parti pembangkang untuk bekerjasama. Umpamanya apabila kita ada Akta Anti Lompat Parti, kita jemput parti pembangkang yang lain untuk turut bersama menyokong.

“Begitu juga keadaan apabila kerajaan memutuskan untuk jawatankuasan pilihan khas, bukan sahaja wakil PH terlibat. Kita juga jemput wakil dari Warisan yang mewakili blok pembangkang. Itu yang akan kami teruskan untuk bekerjsama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast