Kerajaan Malaysia telah cuba pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan Nagaentharan Dharmalingam dari tali gantung kerana kesalahan menyeludup dadah masuk ke Singapura sekitar 2009.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah cuba pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan Nagaentharan Dharmalingam dari tali gantung kerana kesalahan menyeludup dadah masuk ke Singapura sekitar 2009.

Malah pelbagai kumpulan hak asasi manusia dalam negara serta antarabangsa telah berjuang sehingga ke saat-saat akhir namun pemuda yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana IQ serendah 69 itu telah digantung sehingga mati pagi semalam di Singapura.

Menurut Setiausaha Agung Wanita MCA, Saw Ooi Ling, pihaknya sedih  selepas apa yang terjadi dengan Nagaentharan.

Jelasnya, lebih berat lagi tanggungan ibu mendiang, S. Panchalai yang terpaksa menerima hakikatnya anak lelaki yang disayangi terpaksa mati dengan cara paling menyedihkan sekali.

Saw Ooi Ling

“Wanita MCA ucapkan takziah dengan apa yang sedang dilalui oleh ibu mendiang. Kita rasa sangat dukacita dan pastinya tanggungan beliau amat berat sekali.

“Tidak ada kata-kata yang boleh membantu beliau menghadapi saat paling sukar ini namun kami Wanita MCA ingin melahirkan rasa simpati dan harap seluruh keluarga mendiang dapat tabah menghadapi dugaan berat ini.

 

“Hakikatnya semua pihak telah mencuba, Yang DiPertuan Agong (YDPA) pernah mengutus surat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Kementerian Luar juga telah melakukan perkara yang sama.

“Ramai juga parti politik, kumpulan asasi dan induvidu tampil namun semuanya tidak mampu mengubah keputusan yang telah diputuskan oleh kerajaan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nagaenthran dikenakan hukuman gantung sejak lebih sedekad lalu bagi kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 42.7 gram ke republik ini.

Singapura merupakan satu daripada negara yang mengenakan hukuman berat terhadap pesalah dadah di dunia menerusi Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodland ketika melintasi sempadan Malaysia-Singapura.

Hasil pemeriksaan, dadah itu ditemukan dilekatkan pada paha kirinya.

Kata Ooi Ling, Singapura sememangnya terkenal dengan undang-undang paling ketat dalam dunia terutamanya dalam kesalahan membabitkan dadah.

“Malaysia telah cuba yang terbaik memandangkan situasi dan Keadaan Nagaentharan itu sendiri namun kita juga perlu faham dan akur dengan undang-undang negara lain.

“Semoga apa yang terjadi kepada Nagaenthran itu juga akan menjadi pengajaran buat rakyat tentang bahayanya dadah dan perbuatan penyeludup dadah mahupun menjadi keldai bagi sindiket pastinya hanya akan merugikan diri sendiri dan keluarga.

“Pastinya dadah dan dalang di sebalik perbuatan terkutuk dengan menjadikan mangsa seperti Nagaentharan adalah musuh nombor satu kita dan sepatutnya kita perangi mereka habis-habisan,” tegasnya.

Untuk makluman, sebelum dihukum gantung, ibu Nagaenthran terus mencabar keputusan mahkamah namun usahanya sia-sia kerana Singapura berpendapat pesalah dadah perlu dihukum sewajarnya.

Semalam sekitar pukul 6 pagi, Nagaentharan dikenakan hukuman gantung sebelum jasadnya di hantar ke rumah keluarganya di Tanjung Rambutan Perak awal pagi tadi.

Upacara pengebumian di jangka di lakukan mengikut upacara Hindu esok sekitar jam 11 pagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nagaenthran sempat pakai baju kegemaran sebelum ke tali gantung

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast