Gambar terakhir Nagaentharan sebelum ke tali gantung.

KUALA LUMPUR – Mendiang D Nagaenthran, 34, yang dihukum gantung di Singapura awal pagi ini setelah disabitkan dengan kesalahan dadah diberikan kebenaran mengenakan beberapa pakaian kegemarannya semalam.

Pakaian-pakaian yang telah dikirimkan oleh adiknya, D Navin, 22, di percayai merupakan antara paling disukai mendiang.

Seorang wartawan Singapura, Kirsten Han, telah berkongsi beberapa keping foto terakhir Nagaenthran yang kelihatan tersenyum sambil mengayakan pakaian tersebut.

“Selamat bersemadi dengan aman Nagaentharan K Dharmalingam. Gambar yang diambil sebelum mendiang ke tali gantung yang mana ahli keluarga dibenarkan memberi banduan beberapa pakaian kegemaran mereka bagi sesi fotografi. Gambar itu akan diberikan selepas selesai hukuman gantung,” tulisnya.

Sekitar jam enam pagi waktu tempatan, Nagaentharan telah menjalani hukuman gantung atas kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 44 gram (g) memasuki Singapura yang melaksanakan antara hukuman terberat di dunia bagi kesalahan berkaitan dadah.

Suspek ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu didapati dilekatkan di paha kirinya.

Ibu mendiang, S Panchalai

Dalam pada itu, ibu mendiang, S Panchalai hampir terduduk sambil bergenang airmata apabila Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan membatalkan hukuman gantung terhadap anaknya.

Keadaan mahkamah agak hiba apabila hakim membenarkan tertuduh menyentuh ahli keluarganya buat kali terakhir untuk beberapa minit sebelum dibawa keluar semalam.

Nagaentharan buat kali terakhir merayu agar dibenarkan untuk bersama keluarganya selama dua jam sebelum hukuman itu dijalankan pagi tadi.

Mayat mendiang dijangka tiba di rumah keluarganya di Tanjung Rambutan malam ini sekitar 11 malam sebelum upacara pengebumian diadakan Jumaat ini. – MalaysiaGazette

Wisma Putra telah bantu Nagaenthran sejak dalam tahanan

Rayu Presiden Singapura beri pengampunan terhadap Nagaenthran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast