wisma putra
Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Nagaenthran K Dharmalingam telah menjalani hukuman mati awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Nagaenthran K Dharmalingam, tahanan warganegara Malaysia yang menjalani hukuman bunuh di Singapura pagi tadi telah dibantu oleh Wisma Putra sejak dia dalam tahanan.

Wisma Putra berkata, ia melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura telah mengikuti rapi perkembangan kes itu sejak tertuduh ditahan pada 22 April 2009.

Suruhanjaya Tinggi telah menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam memberikan bantuan konsular kepada Nagaenthran sepanjang berada dalam tahanan bagi memastikan hak dan kebajikannya sentiasa terpelihara.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifudin Abdullah sekali lagi mengutuskan surat kepada rakan sejawat mereka di Singapura minggu ini, sebagai usaha memohon kerajaan negara itu menimbang dan meringankan hukuman yang dikenakan ke atas Nagaenthran.

“Surat itu turut menyatakan keterbukaan kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan kerajaan Singapura bagi melaksanakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa di antara Malaysia – Singapura,” kata kenyataan itu.

Pada 29 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak percubaan tertuduh untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar hukuman matinya.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac telah menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.

Hukuman mati terhadap Nagaenthran akan diteruskan pada tarikh ditetapkan selepas  lima hakim turut menolak permintaannya untuk menangguhkan hukuman, sementara dia mencari panel pakar psikiatri bagi menilainya.

Nagaenthran, yang kini berusia 34 tahun, ditangkap dengan heroin diikat pada pahanya dari Malaysia ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada April 2009 ketika berusia 21 tahun.

Malah, pada November 2021, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri telah menghantar surat pertama kepada kerajaan Singapura.

Pada Disember lalu pula, Yang di-Pertuan Agong juga telah mengutus warkah kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Singapura bagi meringankan hukuman ke atas Nagaenthran.

“Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan di atas maklum balas yang telah dikemukakan oleh kerajaan Singapura dan menghormati sistem perundangan negara itu.

“Dalam masa sama, kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Singapura atas bantuan diberikan sepanjang tempoh tahanan dan perbicaraan Nagaenthran.

“Jemaah Menteri juga sedia maklum akan pelaksanaan hukuman mati yang telah dilaksanakan ke atas tertuduh,” kata kenyataan itu.

KLN berterima kasih atas penglibatan pertubuhan serta organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berusaha supaya pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran dapat dikurangkan, selain inisiatif untuk memansuhkan itu.

Kementerian mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Nagaenthran dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada ahli keluarga beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bantu dulu hak asasi kemanusiaan warganegara migran timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris di tanah sekangkang kera ini adalah daripada negara-negara asal migran masing-masing sehingga tanah rizab Melayu kini tinggal 12% walaupun dah kebas tanah Uyghur dan tanah Kashmiri. Contohilah Qatar, UAE, dan Kuwait ada majority migran sehingga cucu-cicit dijamin hak asasi kemanusiaan warganegara cucu-cicit migran adalah daripada negara-negara asal migran masing-masing politikus Pak Pandir ooii!!

Comments are closed.