Foto pertemuan dengan Fahmi Fadzil yang dikongsi oleh Mohd. Asri di media sosial.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mempunyai hala tuju pentadbiran yang baik, menurut Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Tanggapan tersebut dibuat oleh Mohd. Asri selepas menerima kunjungan daripada Jurucakap Kerajaan Madani itu di rumah beliau malam tadi.

Selain itu, Mohd. Asri berkata, Fahmi juga seorang yang mudah mesra dan mendoakan usaha yang dilakukan oleh beliau akan dirahmati.

Dalam perkongsian di media sosial, Mohd Asri berkata, pertemuan pertama kali itu turut diisi dengan perbincangan pelbagai perkara.

“Malam tadi, saya menerima kunjungan ukhuwah dari Menteri Komunikasi YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di rumah saya rumah.

“Selepas kuliah di Masjid Alwi semalam saya bergegas pulang untuk menyambut kunjungan beliau dan rombongan. Ini kali pertama saya bertemu beliau.

“Tanggapan saya, beliau seorang yang mesra dan mempunyai hala tuju pentadbiran yang baik. Banyak perkara positif yang dibincangkan dalam tempoh kunjungan tersebut. Semoga Allah merahmati usaha-usaha baik beliau,” katanya.

Mohd. Asri terkenal dengan kelantangannya menegur dasar dan polisi yang dilihat bertentangan dengan Islam.

Ini antaranya menggesa Kerajaan Perpaduan menghapuskan judi di negara ini sejajar dengan slogan kerajaan Malaysia Madani.

Beliau berkata, perkataan ‘madani’ mungkin diambil dari Madinah Nabawiyyah iaitu Bandar Nabi Muhamad SAW atau sekadar perkataan Madinah yang dalam Bahasa Arab bermaksud bandar.

Beliau turut menegur Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam penggunaan istilah kafir kepada masyarakan bukan Islam.

Mohd. Asri juga mempersoalkan keperluan seorang menteri kerajaan menyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan label “kafir” sedangkan ia tidak menjadi isu dalam kalangan umat Islam di negara ini. – MalaysiaGazette