Penang Bayan Baru Police Station Central Lockup detainee narcotics severe skin allergy
Penang Police Chief, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain at a news conference today. Mohd Shuhaily bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tahanan reman kes dadah yang diberkas semula semalam selepas meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, di sini, ditemui dalam keadaan kulitnya dipenuhi kesan alahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah chalet di Batu Kurau, Taiping, Perak sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjutan ekoran keadaan alahannya teruk.

“Bagaimanapun selepas menerima rawatan suspek dibawa untuk tahanan polis.

“Suspek direman selama empat hari sehingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagaimana suspek boleh melarikan diri hingga ke Batu Kurau.

“Susulan penahanan semula suspek itu, kita tidak bercadang bagi meneruskan permohonan perintah reman terhadap enam anggota yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes sama.

“Elemen kecuaian memang wujud, jadi kita akan teliti tindakan yang sesuai kepada anggota polis berkenaan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan tahanan reman kes dadah yang melarikan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru pada Selasa lalu, diberkas semula sebuah chalet di Batu Kurau, Taiping kira-kira jam 6 petang semalam.

Difahamkan tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. – MalaysiaGazette