Muhammad Syukri (duduk) meninjau tapak lokasi penemuan tapak kaki gajah sehingga mencetuskan kebimbangan kepada pekebun di Mersing, Johor semalam.

MERSING  – Serangan sekumpulan gajah liar yang merosakkan tanaman merisaukan kira-kira 200 pekebun di Kampung Air Papan di sini sejak kebelakangan ini.

Bukan sahaja tapak gajah ditemui malah ada penduduk terserempak sendiri dengan kumpulan haiwan berkenaan di dalam kebun.

Seorang penduduk, Rihanah Zakaria,43,  serangan gajah menyebabkan kemusnahan tanah sawit yang diusahakannya sejak lebih dua tahun lalu.

Rihanah

Katanya, kejadian teserempak dengan haiwan liar berkenaan pada bulan lalu menjadikannya risau mungkin menyebabkan lebih banyak tanamanya akan dimusnahkan.

“Waktu itu saya mahu ke kebun dan ternampak lebih kurang 10 ekor gajah melintas di kawasan kebun.Saya terpaksa berpatah semula sebab rasa takut.

“Tanah di kebun adalah tanah gambut jadi bila tanah basah, gajah masuk dalam kebun dengan berat badannya itu menyebabkan tanah terbenam dan mengheret perutnya untuk bergerak menyebabkan jalan di kebun hancur.

“Tahun lepas sahaja sudah tiga kali kebun diserang dan anggaran kerugian lebih RM10,000. Jika tiada masalah, hasil kebun saya boleh meraih pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan lebih-lebih lagi harga sawit sekarang sedang meningkat,” katanya.

Oleh itu, Rihanah merayu supaya pihak berkuasa memindahkan segera kumpulan gajah liar yang mengganggu tanaman sawit mereka.

“Saya merayu sangat pihak berwajib ambil perhatian masalah yang sekian lama ini.Saya sudah tak tahan menangung kerugian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekebun, Mohd Mesan, 72 , yang bergantung sepenuhnya dengan hasil sawit tidak berani untuk melakukan menanam semula kelapa sawit ekoran bimbang ia dirosakkan oleh gajah.

Mohd Mesan

Katanya,  kehadiran gajah liar itu dalam jumlah yang banyak iaitu kira-kira 10 ekor  menyebabkan dia dan juga pekebun lain takut untuk ke kebun.

Demi nyawa, mereka terpaksa menanggung kerugian kerana harga kelapa sawit  kini sedang melonjak tinggi dalam pasaran.

“Saya sudah usahakan kebun ini sejak lapan tahun lalu dan isu gajah ini berlaku sejak setahun lebih. Baru sahaja minggu lepas gajah ada masuk ke kebun. Kebun saya sudah empat kali diserang gajah.

“Kita ada juga buat aduan kepada Pejabat Perhilitan dan mereka ada datang pantau. Kita minta sangat agar bantulah kami. Kami memang tidak berani untuk tanam semula kerana bimbang diserang lagi.

“Jika boleh pindahkan gajah ini. Kalau kita tanam semula tapi gajah ini masih ada lagi tiada guna juga,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya,  kebun seluas enam ekar itu kini hanya mampu mengeluarkan hasil sekitar dua tan sedangkan sebelum ini mampu mengeluarkan hasil sehingga empat ke lima tan.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM), Muhammad Syukri Ibrahim berkata, susulan ancaman gajah itu, pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan cuba bawa suara pekebun higga dapat titik penyelesaian supaya mereka dapat tanam sawit semula tanpa perlu bimbang serangan gajah,” katanya.

Muhammad Syukri (duduk) meninjau tapak lokasi penemuan tapak kaki gajah sehingga mencetuskan kebimbangan kepada pekebun di Mersing, Johor semalam.

Muhammad Syukri memberitahu, antara solusi bagi isu itu yang dapat dilihat adalah dengan memindahkan gajah-gajah berkenaan namun ia memerlukan kos yang tinggi.

“Sebab itu perlukan bantuan kerajaan dan pihak berkaitan sebab ini melibatkan periuk nasi penduduk. Kebanyakan yang mengusahakan sawit ini adalah mereka yang pencen dan mahu teruskan hidup dengan menanam kelapa sawit.

“Namun bila berlaku serangan gajah semua jadi khuatir, takut akan keselamatan diri juga menanggung kerugian. Kita juga sarankan perbincangan, sama ada tanggung kos separuh separuh atau kerajaan ada peruntukan dapat bina longkang gajah untuk atasi masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast