GEORGE TOWN – Kira-kira 5.5 juta kenderaan berada di seluruh lebuh raya semalam untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei ini.

Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, jumlah kenderaan itu melebihi jangkaan pihaknya.

“Sebelum ini kita jangkakan 5 juta kenderaan berada di seluruh lebuh raya bermula Jumaat (semalam) namun hasil data yang diperoleh mendapati jumlah berkenaan meningkat hingga 5.5 juta.

“Pihak polis akan membuat pemantauan untuk melancarkan perjalanan masyarakat pulang ke kampung,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan sebanyak 5 juta kenderaan akan berada di seluruh lebuh raya negara bermula Jumaat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, trend peningkatan itu dikesan terutama di Lembah Klang disebabkan pergerakan orang ramai untuk persiapan raya.

“Pergerakan akan mula sesak apabila orang ramai mula pulang ke pantai timur, utara dan selatan.

“Kita jangkakan sebanyak 5 juta kenderaan akan berada di lebuh raya bermula Jumaat,” kata beliau. – MalaysiaGazette