Soffian (kiri) berbuka puasa di lapangan bersama anggota trafik di Jalan Tunku Kudin, Gelugor, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jika situasi di semua lebuh raya dan beberapa kawasan ketika ini sesak susulan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, namun ia berbeza bagi daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Ia susulan beberapa kawasan dalam daerah ini mula sesak apabila pengunjung luar menggunakan peluang cuti panjang sempena perayaan Aidilfitri untuk melancong ke sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kenderaan berbanding hari biasa di kawasan sekitar pusat bandar dan Batu Feringghi.

Soffian.

“Kita semua sedia maklumat populasi penduduk di daerah ini majoriti kaum Cina iaitu sebanyak 65 peratus jadi kita menjangkakan orang pulang beraya di daerah ini kurang namun ia menjadi lokasi tumpuan bagi aktiviti pelancongan.

“Kita lihat peningkatan kenderaan amat luar biasa selain kebanyakan hotel di daerah ini merekodkan tempahan antara 80 hingga 85 peratus bermula Sabtu sehingga 8 Mei depan.

“Sehubungan itu, kita mengharapkan mereka yang mengunjungi daerah Timur Laut ini terus mematuhi arahan lalu lintas dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan di bahu jalan hingga boleh menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, Soffian berbuka puasa bersama pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di Jalan Tunku Kudin, Gelugor di sini.

Soffian bersama anggota trafik membaca doa berbuka puasa.

Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPDTL, Deputi Superintendan Ahmad Tarhizi Omar.

Tambah Soffian, anggota polis akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk memastikan aliran trafik dalam tempoh cuti panjang ini terkawal.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan Ops Selamat bagi daerah Timur Laut, Soffian berkata, penguatkuasaan lalu lintas akan terus dipertingkatkan di daerah ini selain pihaknya akan memastikan aliran trafik berada dalam keadaan baik sekali gus melancarkan pergerakan orang awam yang akan bercuti panjang.

“Penugasan Ops Selamat 18 ini juga bagi memastikan kadar kemalangan dalam daerah ini dapat dikurangkan berbanding Ops Selamat 15.

“Mengikut statistik Ops Selamat 15  pada tahun 2019, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang ops itu adalah 696 kes membabitkan empat kemalangan maut, cedera parah (2) dan bakinya kemalangan biasa.

“Jadi kita akan berusaha tahun untuk mengurangkan kadar kemalangan khususnya membabitkan kematian,” jelas beliau. – MalaysiaGazette