ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Satu mekanisme komprehensif akan dirangka kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu perlu bagi memastikan warga tempatan diberikan keutamaan terlebih dahulu dalam menggaji pekerja.

“Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya dalam ucapan sempena Hari Pekerja 2022 hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga telah melancarkan portal UPSkill Malaysia bagi pekerja meningkatkan kemahiran dan menjadikannya pusat rujukan tunggal.

Untuk rekod, UPSkills Malaysia kini berjaya menghimpunkan maklumat 6,143 penyelia latihan meliputi 35 bidang kemahiran.

Malah bagi melindungi hak pekerja tempatan dan asing terutamanya isu berkiatan buruh paksa, kerajaan telah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen Kerajaan untuk menghapuskan buruh paksa di negara ini.

“Ratifikasi ini satu tindakan proaktif kerajaan dalam memastikan produk dan barangan Malaysia tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa kerana didakwa menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran barangan negara ini,” kata Ismail Sabri lagi.

Selain daripada itu beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk mewajibkan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun sebelum ia diperluaskan ke sektor swasta.

Kerajaan turut mengumumkan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, MyEzCover.com mulai 1 Mei.

Jelas Ismail Sabri, program itu adalah pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah ditawarkan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada sektor swasta.

“Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama PERKESO dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),” katanya lagi.

Ismail Sabri turut berkata, pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 yang berkuatkuasa hari ini merupakan hadian kepada golongan pekerja atas dedikasi yang tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.

Pada Rabu lalu, satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 April 2022 itu dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Dokumen pewartaan itu bertajuk Perintah Gaji Minimum 2022 mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Berdasarkan dokumen itu, kadar gaji minimum dan kadar gaji bagi pekerja yang dibayar hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan dan sebagainya berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022. – MalaysiaGazette