KUALA LUMPUR – Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) berpendapat negara ini belum mencapai tahap yang boleh membanggakan daripada segi penyediaan perlindungan sosial yang mencukupi.
Menurut Presidennya, J. Solomon, ketika ini, pihaknya melihat masih wujud satu jurang yang besar dari segi perlindungan sosial bagi pekerja di Malaysia tidak kira kedudukan mereka sama ada bekerja di peringkat bawahan dan pertengahan mahu pun atasan.
“Kita perlu membantu melindungi mereka dengan menyediakan perlindungan yang cukup membina.
“Kita perlu melakukan sesuatu dan ia bermula daripada dari SPCAAM yang boleh disertai oleh setiap rakyat Malaysia dan warga asing yang tinggal di Malaysia tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat kerana setiap orang memerlukan perlindungan sosial dalam apa jua bentuk.
“SPCAAM lahir daripada pekerja, untuk pekerja dan demi pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran SPCAAM yang diadakan sempena sambutan Hari Pekerja 2022 oleh bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung SPCAAM, A. Karuna memberitahu, perlindungan sosial di Malaysia tidak cekap untuk memenuhi keperluan asas rakyat.
Kata beliau, ramai yang tersisih sepenuhnya daripada sistem perlindungan sosial dan mereka tiada sebarang bentuk sokongan dan sangat terdedah.
Jadi ujarnya, SPCAAM akan bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu orang ramai,termasuk para pekerja, tidak kira jawatan, kedudukan dan negara.
“SPCAAM akan menjadi badan penasihat perlindungan sosial yang berkesan untuk semua yang menetap di negara ini.
“Meskipun para pekerja disediakan dengan beberapa skim perlindungan sosial, kita perlu proaktif dalam melihat isu ini secara holistik dan memperluaskan skopnya agar segala isu yang wujud pada hari ini dapat diletakkan titik noktah.
“Kehidupan yang kondusif rakyat khususnya pekerja, sama ada ketika masih bekerja atau selepas sudah tidak lagi bekerja, perlu disediakan dan ia perlu bermula sekarang,” katanya.
Sementara itu, mereka yang berminat untuk menjadi ahli SPCAAM boleh melayari laman web www.spcaam.org atau pertanyaan boleh dikemukakan ke alamat e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette.