Seorang peniaga sedang membungkus ayam daging yang dijual di gerainya di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Bimbang Hari Raya Aidilfitri diumumkan esok menyebabkan warga kota berpusu-pusu memenuhi Pasar Chow Kit di sini sejak awal pagi tadi untuk membeli barang keperluan hari raya.

Rata-rata mereka bimbang sekiranya pengumuman tarikh 1 Syawal malam ini menetapkan esok raya pertama – mereka tidak sempat membeli keperluan menyiapkan juadah.

Akibatnya berlaku kesesakan teruk sehingga aliran trafik tidak bergerak hampir 60 minit melibatkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Alang dan Lorong Raja Bot hampir lumpuh sejak pukul 9 pagi tadi.

Namun selepas sejam baru kelihatan beberapa anggota polis trafik dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu menyuraikan aliran trafik.

Ia susulan tindakan segelintir pemilik kereta persendirian yang meletakkan kenderaan di bahu jalan yang menjadi punca kesesakan lalu lintas.

Tinjauan MalaysiaGazette seawal pukul 9 pagi tadi mendapati aliran trafik di situ pulih sepenuhnya selepas penguat kuasa DBKL menutup Jalan Raja Alang dengan meletakkan kon jingga.

Walaupun keadaan semakin reda namun sekitar Pasar Chow Kit semakin sesak dengan pengunjung yang semakin bertambah khususnya di gerai-gerai menjual daging lembu dan ayam.

Bahagian batang pinang antara bahagian lembu yang sudah habis dijual lebih awal di Pasar Chow Kit kerana mendapat permintaan tinggi di musim perayaan kali ini.

Turut menjadi tumpuan orang ramai ialah gerai yang menjual ayam daging, ayam pencen dan ayam kampung bakal dijadikan juadah awal pagi 1 Syawal nanti.

Tidak ketinggalan gerai yang menjual bekalan daging kambing tempatan meskipun harganya tinggi kira-kira RM50 sekilogram namun bekalannya hampir habis walaupun belum masuk waktu tengahari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast