The police Drone Unit will be monitoring and capturing motorists who violate the traffic rules by using the emergency lane and fine them immediately. PIX: PDRM Drone Unit, Bukit Aman Air Operation Team
The police Drone Unit will be monitoring and capturing motorists who violate the traffic rules by using the emergency lane and fine them immediately. PIX: PDRM Drone Unit, Bukit Aman Air Operation Team. Unit Drom PDRM akan mengawasi dan mencekup pemandu jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan serta mengeluarkan tindakan saman serta merta terhadap mereka.- Ihsan Unit Dron PGU JSPT Bukit Aman PDRM

KUALA LUMPUR – Jika pemandu kenderaan yang berani memasuki lorong kecemasan di lebuh raya dan menganggap kesalahannya tidak dilihat sesiapa, persepsi anda adalah salah.

Tindakan pengguna jalan raya yang mencabar pihak berkuasa akan diintai dan dicekup Unit Dron milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan terbang di ruang udara lebuh raya di negara ini.

Timbalan Pengarah I JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, beliau turun padang petang semalam di Kilometer 365.8 Lebuhraya PLUS (arah utara) bagi membuat pemantauan kesalahan mengguna lorong kecemasan dengan menggunakan khidmat Drone dari Pasukan Gerakan Udara (PGU).

“Unit Drone Team Bravo yang dikendalikan oleh Inspektor Faiz bersama dua lagi anggota telah membuat rakaman video dari udara bagi mengenal pasti kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan tanpa sebab munasabah.

Kenderaan yang dikesan memasuki lorong kecemasan di lebuhraya utara selatan berhampiran Tapah berjaya dicekup Dron PDRM sebelum pemandu berkenaan ditahan polis dan disaman serta merta berjumlah RM300 semalam. Ihsan JSPT PDRM

“Hasilnya kenderaan yang dikesan membuat kesalahan memandu di lorong kecemasan itu berjaya ditahan di lapangan dan kemudian diberikan saman dengan kadar RM300 serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nadzri juga menambah, walaupun berlaku perlanggaran oleh segelintir pengguna jalan raya namun kini ia dapat diminimumkan kerana kesedaran mereka untuk takut dikenakan saman oleh PDRM selain gambar serta video direkod.

Beliau pada masa yang sama memuji majoriti pengguna di jalan raya kerana bersabar walaupun terpaksa menempuh kesesakan aliran trafik akibat pertambahan kenderaan untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing sejak Jumaat lalu.

Justeru, katanya, JSPT dalam tempoh OP Selamat 18 telah mendapat kerjasama daripada Unit Drone, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dalam tugasan pemantauan aliran trafik dan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lalu lintas sehingga 8 Mei ini bersempena musim sambutan Aidilfitri kali ini.

Selain kesalahan memasuki lorong kecemasan, dron juga akan mengawasi pergerakan pemandu kenderaan yang memotong barisan dan juga melanggar isyarat lampu merah.

Dron berkenaan diterbangkan di tiga lokasi meliputi tiga sektor iaitu utara, selatan dan timur.

Semalam, PGU menerbangkan dron di tiga lokasi iaitu di Plaza Tol Gombak, Slim River, Perak dan Pagoh, Johor untuk merekodkan gambar kenderaan yang melakukan tiga kesalahan utama berkenaan.

Unit dron yang diterbangkan akan dikawal dari darat yang berupaya mencerap gambar kenderaan bersalah pada 360 darjah. Ihsan JSPT PDRM

Gambar pelaku tiga kesalahan berkenaan akan dirakam menggunakan kamera berkapasiti tinggi yang boleh mencerap imej 360 darjah pada penerbangan 1,500 kaki dengan kelajuan 70 kilometer sejam.

Malah gambar kesalahan pemandu jalan raya yang dirakam itu kemudian akan diproses untuk semakan sistem di Bukit Aman sebelum notis pemberitahuan kesalahan dihantar kepada pemilik kenderaan.

Selain mempunyai kamera, dron itu juga mempunyai pembesar suara untuk membuat pengumuman serta dan ia mampu terbang selama tiga jam bagi setiap sesi penerbangan.

Beliau menyeru kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan bagi memastikan kelancaran perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita tahu semua orang mahu balik ke kampung apabila pada Sabtu lalu hampir 5.5 juta kenderaan direkodkan berada di jalan raya iaitu melebihi jangkaan kita sebanyak lima juta kenderaan sehari.

“Selain itu, jumlah kenderaan semakin meningkat kerana orang ramai mahu merebut peluang mendapatkan pengecualian bayaran yang diberikan kerajaan.

“Tetapi rakyat dinasihati supaya memandu dengan berhati-hati dan bertimbang rasa tanpa sikap mementingkan diri sendiri supaya semua orang merasa selesa untuk balik ke rumah masing-masing.- MalaysiaGazette