KLUANG – Menghitung hari untuk dibebaskan merupakan perasaan paling sensitif bagi penghuni tirai besi.
Kamal (bukan nama sebenar) walaupun hanya dipenjara selama lima bulan atas kesalahan kecil kerana meminjam dan menyerahkan kad bank kepada pihak ketiga namun berdebar-debar untuk kembali ke pangkuan masyarakat semula.
Katanya, hampir setiap saat beliau menghitung hari agar dapat dibebaskan dan dapat pulang ke kampung halamannya untuk bertemu keluarga.
Lebih-lebih lagi pembebasannya hari ini jatuh pada 1 Syawal.
Menceritakan detik dipenjarakan, beliau memberitahu, gara-gara terlalu percayakan kawan dia terpaksa menanggung malu dan derita apabila merengkok di dalam penjara.
Jelas bapa kepada empat anak ini, pada awal rakannya memaklumkan hanya mahu meminjam kad bank memandangkan kad bank rakannya telah hilang.
“Kes ini kerana saya bagi kawan pinjam kad bank dan dia bagi orang sewa kad bank itu pada scammer dan saya yang masuk ke sini.
“Waktu itu dia kata dia mahu pinjam tiga minggu dan lepas itu saya pun beri kerana saya pun ada tiga kad bank. Satu kad bank saya bagi pakai dulu.
“Waktu itu saya cuma tahu dia nak minta isteri dia transfer duit sebab mahu bagi anak dia sebab ketika itu isterinya di Singapura tidak dapat balik.
“Selama sebulan dia pakai dia kata kad bank sudah kena block tetapi saya beritahu dia tak mengapa nanti saya buat semula. Hakikatnya dia sewakan pada orang,” katanya.
Bagaimanapun jelas Kamal, merengkok dalam penjara banyak memberi ilmu baharu kepada dirinya.
“Saya di dalam ini hampir lima bulan, saya rasa bahagia seronok sebab rasa macam tidak percaya sampai saya menangis sebab tidak percaya saya mahu bebas.
“Saya bersyukur hari ini keluarga saya sambut, apa yang dapat saya belajar dalam ini ialah dapat muhasabah diri, belajar sembahyang.
“Kalau dekat luar sana lain dan di dalam ini saya sembahyang apa semua kemudian apa yang dilakukan di dalam ini banyak saya belajar.Rasa menyesal pada diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada hari pembebasannya di Penjara Kluang sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Sementara itu, Pengarah Penjara Kluang, Abdul Kadir Jailani Ismail memberitahu, seramai 16 banduan yang telah selesai menjalani hukuman hari ini.
“Apabila diumumkan tarikh hari raya maka peraturan penjara menyatakan mana-mana banduan yang tarikhnya jatuh pada hari cuti maka pembebasan harus dibuat sehari sebelum Aidilfitri.
“Saya rasa ini keistimewaan bagi mereka sekurangnya mereka dapat merayakan bersama keluarga tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette