Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2022.

PETALING JAYA – Selama dua tahun umat Islam tidak dapat beraya akibat pandemik, tibalah masa tahun ini untuk meraikannya apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran sesuai.

Sudah tentu anak perantauan akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bertemu dengan ibu bapa dan keluarga tercinta.

Namun, nasib anak yatim piatu dan asnaf yang berada di pusat jagaan sudah tentu berbeza ketika Syawal menjelma.

Prihatin terhadap nasib dan perasaan anak-anak di bawah jagaannya, Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab nekad membawa balik kesemua 35 anak yatim dan asnaf ke kampung halamannya di Linggi, Negeri Sembilan untuk meraikan Aidilfitri tahun ini.

Niatnya tiada lain cuma untuk menggembirakan anak-anak yatim yang tidak mempunyai waris keluarga lain.

Beliau yang mesra disapa sebagai Jamal tidak tergamak di hatinya untuk melihat anak-anak di bawah jagaannya terpaksa menyambut hari raya tanpa merasai suasana bersama-sama keluarga.

“Siapa nak duduk di rumah kebajikan masa perayaan, mereka pun harap ada orang ambil mereka, bawa bercuti rasa mood raya.

“Kita cuba menggembirakan mereka walaupun kita tidak tahu apa perasaan mereka sebenarnya. Ada yang waris mohon bawa beraya, ada yang bukan kami tidak mahu tapi belum masanya lagi ada perkara-perkara yang kita perlu ambil peduli,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab. Foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2022.

Beliau turut bersyukur kerana keluarga mentuanya di Linggi memahami niatnya berkongsi kegembiraan hari raya tahun ini dengan anak-anak yatim dan asnaf di pusat jagaan berkenaan.

Katanya, seramai 114 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dan lebih kurang 40 akan beraya bersama-sama waris mereka.

Namun Jamal memaklumkan beliau hanya akan membawa anak yatim dan asnaf lelaki sahaja manakala perempuan akan dibawa oleh tiga orang warden perempuan ke kampung halaman masing-masing.

“Selebihnya perempuan, pekerja perempuan akan bawa pula. keluarga mereka pun izinkan,” tambahnya.

Mengulas mengenai Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan sejak tahun 2007, Jamal berkata, fokusnya adalah untuk memberikan anak-anak di bawah jagaannya pendidikan dunia dan akhirat yang cukup agar mereka bersedia berhadapan dengan cabaran hidup kelak.

Semua anak-anak di bawah jagaannya yang kebanyakan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dimasukkannya ke sekolah-sekolah kebangsaan selain ke sekolah agama.

“Fokus kami di sini adalah mendidik anak-anak supaya dapat membawa diri dalam kehidupan pada masa akan datang dunia dan akhirat, bersosial secara berhemah jangan keluar terjebak dengan masalah sosial.

“Cabaran adalah mendidik mereka dalam waktu pandemik ini, ada yang ketinggalan kan. Untuk terapkan disiplin mereka, agama iaitu jaga aurat dan batas,” katanya lagi.

Tidak hanya memberikan pendidikan, beliau turut memastikan semua anak yatim dan asnaf di rumah tersebut mempunyai jati diri dan berdisiplin.

Ujar Jamal, beliau juga sentiasa membuka ruang kepada anak-anak di rumah berkenaan untuk hidup bermasyarakat di kawasan kejiranan.

“Kita kena beri mereka bermasyarakat juga, saya beri mereka masa ke masjid berdekatan, berkawan tapi kena ada batasnya,” tambah beliau.

Beliau berharap Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras akan dapat membantu bukan sekadar menjaga tetapi membantu membentuk sasiah diri anak yatim dan asnaf.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast