KUALA LUMPUR – Legenda basikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang tidak mahu penyakit jantung yang dialaminya dikaitkan dengan ‘perkara lain’.
Atlet berusia 34 tahun yang juga harapan pingat emas negara pada Olimpik Paris 2024 itu turut menggesa, agar tidak ada mana-mana pihak membuat teori konspirasi dan fitnah terhadap penyakit yang dihadapinya.
“Kondisi saya ni tak ada kaitan langsung dengan perkara-perkara luaran yang lain dan janganlah sesetengah dari kita ni cuba untuk sebarkan fitnah atau cuba membuat teori konsipirasi dan sebagainya.
“Insya-Allah jika ada rezeki dan peluang, saya akan kongsikan kronologi tentang pengalaman yang saya hadapi ini.
“Tapi sebelum itu, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya. Terima kasih semua,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Media sebelum ini melaporkan pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu itu semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka di Hospital Epworth Richmond, Melbourne selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui.
Penyakit berkenaan dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil atau Anomalous Right Coronary Artery.
Jelas Mohd Azizulhasni, penyakit yang dihadapinya adalah berbeza dengan dengan Hypertrophic Cardiomyopathy yang biasa dihadapi oleh ahli sukan.
Penyakit tersebut boleh menyebabkan ketidakstabilan denyutan jantung yang dipanggil Cardiac Arrhythmia dan boleh membawa kepada kematian mengejut.
“Kes itu berbeza dengan apa yang saya alami. Anomalous Coronary Artery merupakan sebab kedua yang menyumbangkan kepada masalah jantung dan kematian mengejut di kalangan mereka yang aktif.
“Maksudnya bukan pada kadar kebiasaanlah. Tapi apakah sebenarnya kondisi tersebut? Boleh lukis tak? Maaf lukis tak bolehlah tapi saya cuba terangkan sebaik mungkin ye,” katanya.
Menurut beliau, seperti otak dan otot, jantung juga memerlukan darah yang mempunyai oksigen mencukupi.
Tanpa darah yang beroksigen boleh menyebabkan kerosakan tisu dan kegagalan jantung untuk berfungsi.
“Seperti pembuluh darah yang menghantar darah-darah segar kepada organ dan otot korang untuk berfungsi dengan baik, jantung juga mempunyai pembuluh darah khas mereka tersendiri.
“Pembuluh darah ke jantung ini ada dua iaitu kanan dan kiri yang kita panggil right and left coronary artery.
“Kebarangkalian untuk mendapat kondisi ini pula adalah kurang dari satu peratus daripada seluruh populasi dunia. Jadi sangatlah jarang untuk perkara ini berlaku.
“Bila buka lagi dalam cerita pasal Anomalous Coronary Artery ni pulak, yang biasanya berlaku dikalangan mereka yang kurang bernasib baik ini adalah pada pembuluh darah belah kiri atau Anomalous Left Coronary Artery,” katanya.
Dalam kes yang dialaminya, Azizolhasni berkata, ia berlaku di sebelah kanan yang diklasifikasikan sebagai sangat jarang berlaku.
“Jadi, dah la benda ni rare, kena pulak lagi sekali rare lagi. Dua tiga kali rare punya kes ni. Masya-Allah,” tambahnya.
Beliau menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April lalu.
Dia juga akan terus menjalani pemulihan di Melbourne dan berkemungkinan hanya kembali menjalani latihan tahun depan.
Ini bermakna Mohd Azizulhasni akan terlepas Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou tahun ini tetapi berazam untuk bersaing pada Olimpik Paris.
Mohd Azizulhasni mula merasakan simptom sakit dada selepas kemalangan di Brisbane pada 2019 ketika meraih perak di Olimpik Tokyo.- MalaysiaGazette