KUALA LUMPUR – Tatkala warga tempatan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, warga asing pula mengambil kesempatan memenuhi ibu negara bersama-sama rakan mereka.
Walaupun mencari nafkah di negera orang, mereka juga berkongsi perasaan sama seperti kita yang merindukan kaum keluarga yang berada jauh di mata.
Altab Subhan, 30, sudah hampir empat tahun tidak pulang ke Mardan, Pakistan.
Katanya, walaupun keluarga terdekat ada bersamanya d isini, namun rindu bukan kepalang kepada saudara-maranya yang berada jauh di negara itu.
Dia yang tidak dapat pulang terpaksa beraya bersama rakan-rakannya yang berumur lingkungan lewat 20an sehingga 30, yang mencari rezeki di kilang-kilang seluruh Malaysia.
“Hati berat tak dapat balik Pakistan, saya hanya boleh whatsApp call, video call, ada juga yang guna Facebook Messenger untuk berbual dengan keluarga.
“Saya tak begitu sedih sebab isteri, emak, dan ayah ikut ke Malaysia, saya lebih kesiankan rakan-rakan yang datang sebatang kara” ujarnya.
Sempat juga wartawan MalaysiaGazette menemui warga negara jiran, Indonesia Surianti, 28, dan rakannya, Darmawati, 35.
Kedua-dua mereka yang berasal dari Sulawesi Selatan, kini mengais rezeki di kilang pateri.
Surianti, sudah hampir dua tahun menetap di Malaysia dan masih tidak berpeluang menjenguk keluarganya.
“Sekarang boleh chat dan video call.. nasib baik dunia dah canggih dan lebih memudahkan” jelas Surianti mengenai caranya berhubung dengan keluarga untuk menyambut Aidilfitri.
Mengamit pengalaman tahun lalu, Darmawati berkata, ketika negara dikurung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tidak dapat berjalan ke pelosok negara yang lain, baru tahun ini sahaja berpeluang untuk berbuat sedemikian.
Walaupun dikelilingi rakan-rakan, jauh di sudut hatinta tetap merindui keluarga di kampung halaman.
“Aku rindu kali sama keluarga dan anak di kampung (Indonesia)..” katanya.
Dalam pada itu, Barakmia Mahmud, 38, seorang pekerja bangunan berkata, dia sudah lama tidak pulang ke pulang ke Dhaka, Bangladesh.
“Sudah lima tahun tidak bertemu dengan insan-insan yang disayanginya,” tambahnya.
Dia yang akrab dengan keluarganya selalu berhubung menerusi panggilan telefon hampir setiap hari tanpa gagal.
Meskipun tidak dapat balik pada Aidilfitri, Barakmia bercadang untuk pulang ke Dhaka pada sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.
“Saya letak keluarga saya nombor satu, saya tak sabar nak pulang dan buka sebuah kedai untuk bantu mereka mencari wang” katanya.
Bagi Devi Astika, 26, yang bekerja sebagai pekerja di sebuah pasar raya kecil di Johor, mengambil kesempatan cuti Aidilfitri untuk berada di Kuala Lumpur.
“Sekurang-kurangnya saya hilangkan rasa rindu dan sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung.
“Keluarga kita jauh.. sambut raya dengan video call sahaja”
“Memang tak cukuplah kalau video call tu..tapi macam mana, itu sahaja yang ada.., balik (ke Indonesia) nanti, cara saya nak lepaskan rindu dengan keluarga pergi berjalan-jalan” katanya lagi. – MalaysiaGazette.