Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab bercakap ketika ditemubual mengenai anak yatim dan asnaf meraikan Aidilfitri di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2022.

PETALING JAYA – “Jangan buka pusat jagaan demi kepentingan sendiri,” itu nasihat Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab kepada pusat-pusat jagaan berdaftar dalam negara.

Jelasnya, menubuhkan dan menguruskan pusat jagaan untuk menjaga anak yatim, asnaf, golongan kelainan upaya (OKU) atau warga emas perlu mempunyai kemahiran.

Para pengendali yang diupah bukan hanya perlu dipastikan mampu menjaga penghuninya, sebaliknya harus mempunyai kemahiran yang cukup.

Ujarnya, kelalaian mengurus pusat-pusat jagaan akan memberi kesan kepada penghuninya, malah lebih buruk ia berpotensi berlakunya penderaan.

“Di rumah kebajikan persendirian kita tidak ada satu position (jawatan) yang profesional, pekerja yang diambil bukan perlu atas kelayakan tapi latar belakangnya, sikapnya kena tengok.

“Kita nak buat baik, buka pusat jagaan nak jaga budak-budak tapi kurang kemahiran,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, pihak berkaitan seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan perlu bekerjasama dengan menyediakan latihan-latihan mengurus kepada pengendali pusat-pusat jagaan berdaftar.

“Daripada situ, latihan demi latihan itu boleh memberi satu khidmat baik. Memberi latihan kemahiran kepada pengusaha rumah kebajikan secukupnya, kena ada jalan penyelesaian iaitu kecekapan mengurus rumah kebajikan.

“Negara kita belum boleh kita katakan. Yang baru-baru berlaku ini mungkin ada yang boleh diperbaiki, ada yang longgar dan perlu diperketatkan, bukan pengusaha sahaja tapi penjaga juga,” tambahnya. – MalaysiaGazette