ALOR SETAR – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menggembleng idea dan tenaga menerusi program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) bagi mengenal pasti punca keciciran murid terutamanya dalam kalangan murid yang berisiko cicir.

Program yang bersifat multidisiplin itu dijalankan oleh 17 penyelidik daripada Pusat Pengajian Pendidikan, Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi dan Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM yang diketuai Profesor Kanan Psikologi Pendidikan di Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Prof Dr Rosna Awang Hashim.

Menurut Rosna, program yang mendapat sokongan padu Kerajaan Negeri Kedah dan Yayasan Sime Darby itu bertujuan mengesan simptom awal keciciran murid serta akan mencadangkan kepada pihak yang berkaitan untuk intervensi berstrategik menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam menangani isu itu.

“Program ini telah dimulakan sejak Jun tahun lepas dan akan berjalan selama tiga tahun. Pasukan penyelidik telah mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah yang terlibat di tiga daerah di negeri ini dan menemu bual pihak yang terlibat secara langsung dalam mempengaruhi kehadiran murid ke sekolah.

“Mereka termasuk pihak pentadbiran sekolah, guru kelas, kaunselor, ibu bapa, wakil komuniti setempat, rakan-rakan serta murid-murid dalam usaha memahami dan menangani isu tersebut,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, fokus penyelidikan adalah ke atas pelajar sekolah menengah di tingkatan tiga dan empat terutama daripada latar belakang tertentu yang berisiko meninggalkan persekolahan sebelum sampai waktunya.

Rosna yang juga Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia berkata, selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan, beberapa dapatan awal telah diperoleh yang dilihat sebagai mempengaruhi keciciran murid.

Katanya, punca tersebut termasuk faktor dalaman seseorang murid serta faktor luaran yang merangkumi sokongan akademik dan emosi daripada ibu bapa atau keluarga, guru, sekolah serta rakan sebaya.

“Faktor dalaman murid itu melibatkan sikap, tingkah laku dan minatnya untuk pergi ke sekolah atau sama ada dia terlampau mementingkan keseronokan, bermain dengan gajet atau bekerja sambilan semasa pandemik sehingga melupakan persekolahan.

“Faktor luaran pula adalah seperti latar belakang keluarga terutama daripada golongan B40 yang ibu bapa bekerja tidak ikut masa sehingga tidak sempat memantau anak-anak sekali gus menyebabkan mereka tiada dorongan untuk ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Rosna berkata, pihaknya mendapati ada murid yang melakukan kerja sampingan ketika pandemik seperti membantu ibu bapa berniaga di pasar malam atau mengusahakan sawah sehingga memberi kesan kepada persekolahan mereka.

“Mereka mengambil apa sahaja peluang untuk mencari duit, tetapi malangnya mereka gunakan duit untuk membeli barang kesukaan mereka seperti telefon pintar dan bermain permainan video hingga lewat pagi. Bermain permainan video adalah ketagihan abad ke-21,” katanya.

Rosna berkata, berdasarkan dapatan awal itu, keprihatinan ibu bapa dan penjaga, sokongan guru serta campur tangan wakil masyarakat dilihat amat penting untuk membantu seseorang murid yang berisiko cicir meneruskan persekolahan sehingga tamat dan sekurang-kurangnya dapat menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast