Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – Tidak ada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan memandangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bergerak dengan teratur mengikut Perlembagaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini kerajaan yang ada perlu menyelesaikan beberapa tugas terutamanya melibatkan fasa pemulihan pasca COVID-19.

Beliau berkata, secara umum tempoh penggal PRU14 juga masih berbaki sehingga Julai 2023.

“Pemulihan ini dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya, jadi perlu diberi peluang kepada kerajaan yang sedang berjalan untuk menyelesaikan pasca pemulihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kampung Sireh, di sini, hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, Pas sedang memperkuatkan parti tersebut menerusi tambahan cawangan dan ahli.

“Setiap bulan Pas pusat ada mesyuarat bulanan dan kita menerima sebanyak 2,000 ahli baharu dan cawangan baharu.

“Kita ada 197 kawasan di seluruh negara dan saya sudah mengarahkan supaya ditambah lagi,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast