Polis Melaka menahan seorang pemandu kedua sebuah bas ekspres di Melaka Sentral di Melaka hari ini selepas didakwa mencabul seorang penumpang wanita di Ajil, Hulu Terengganu awal pagi tadi.

MELAKA – Polis Melaka menahan seorang pemandu kedua sebuah bas ekspres di Terminal Melaka Sentral di sini selepas didakwa mencabul seorang penumpang wanita di Ajil, Hulu Terengganu awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pemandu lelaki berusia 27 tahun itu ditahan jam 10.30 pagi tadi sebaik sahaja bas dari Kelantan ke Melaka itu tiba di Terminal Melaka Sentral.

Menurutnya, penahahan dibuat susulan aduan daripada penumpang wanita berusia 21 tahun yang mendakwa dicabul pemandu berkenaan ketika bas yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka itu sedang berhenti di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Mangsa yang belajar di maktab perguruan mendakwa ketika itu sedang tidur sebelum tiba-tiba diraba pemandu lelaki itu ketika bas sedang berhenti rehat di Ajil kira-kira jam 4 pagi tadi sebelum menghubungi polis.

“Sebaik menerima maklumat, kita terus menahan lelaki berkenaan sebelum wanita terbabit segera membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah jam 12 tengah hari tadi,” katanya.

Lim Meng Seah

Tambahnya, lelaki berkenaan ditahan dilokap sementara, kes akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut kerana kes berlaku di Ajil.

Terdahulu, kejadian berkenaan dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi video berdurasi 3 minit 41 saat di Facebook rasminya, Akmal Saleh.

Menerusi video berkenaan, beliau yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, mendedahkan telah menerima satu kiriman mesej melalui FB kira-kira jam 6 pagi tadi mengenai kejadian berkenaan daripada seorang individu tidak dikenali.

“Individu berkenaan memaklumkan rakannnya telah dicabul pemandu terbabit di dalam bas dan saya segera meminta nombor telefonnya untuk dihubungi.

“Gadis berkenaan juga mendakwa rakannya itu hanya mampu menangis teresak-esak kerana ketakutan sebelum saya bersama beberapa rakan tunggu di Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, beliau gembira kerana gadis itu berjaya diselamatkan dan pemandu berkenaan telah dbawa ke balai polis untuk siasatan.

“Pesanan saya kepada semua wanita-wanita  di luar sana, sempena Hari Ibu ini, jika berlaku gangguan seksual sebegini, jangan takut untuk menjerit meminta pertolongan.

“Jangan biarkan perangai-perangai bangsat sebegini terus berleluasa dalam masyarakat,” katanya. -MalaysiaGazette