Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu menjelaskan kepada umum asas penyelesaian saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung penamatan kontraknya.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, penjelasan itu penting kerana sepatutnya menjadi duluan kes kepada kes lain melibatkan perlembagaan termasuk lantikan politik.

Katanya, penjelasan itu melibatkan apakah prinsip dan kaedah diambil kira dalam menamatkan jawatan seperti Peguam Negara sebagai panduan bagi mana-mana kerajaan selepas ini supaya tiada pelanggaran atau kesalahan berlaku.

“Oleh itu, sama ada penamatan kontrak Peguam Negara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 145 atau sebaliknya perlu dijelaskan oleh Idrus.

“Idrus juga perlu menjelaskan terma penyelesaian yang diambil kerana jika berlaku bayaran pampasan, ianya melibatkan wang rakyat.

“Walaupun penyelesaian ini dibuat tanpa pengakuan kepada liabiliti, Peguam Negara bertanggungjawab kepada rakyat selaku pembayar cukai,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada 13 April lalu, media melaporkan, saman difailkan Apandi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili Apandi selaku plaintif dalam saman itu, bagaimanapun berkata, terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Menurut Faiz, tindakan itu melibatkan prinsip akauntabiliti dan keadilan, justeru orang awam harus mengetahui terma penyelesaian saman tersebut.

“Apabila Apandi menyaman kerajaan Malaysia atas kapasiti bekas Peguam Negara, kes ini adalah berkepentingan umum, bukan kes persendirian.

“Lagipun, telah menjadi satu persepsi umum penyelesaian ini dilihat sebagai satu pengakuan kerajaan bahawa penamatan kontrak Peguam Negara terdahulu dianggap tidak sah.

“Keadilan perlu dilihat dilaksanakan dan penjelasan oleh Idrus supaya keadilan kepada rakyat dan Keluhuran Undang-Undang ditegakkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette