Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud meninjau kaunter Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks Kementerian Dalam Negeri dan bertemu dengan pelanggan yang mengambil kesempatan untuk membaharui pasport susulan perlanjutan pengoperasian kaunter permohonan pasport Malaysia antarabangsa, bermula hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia dijangka melanjutkan waktu operasi kaunter sehingga 10 malam yang bermula hari ini selama tiga bulan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata ini berikutan permintaan yang tinggi untuk permohonan dan pembaharuan pasport antarabangsa susulan pembukaan semula pintu sempadan negara bermula 1 April lepas.

“Kita menjangkakan kesesakan di pejabat Imigresen dan mungkin akan mengambil sehingga tiga bulan untuk melanjutkan tempoh operasi kaunter,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan bertemu pelanggan yang memperbaharui pasport antarabangsa di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini malam ini.

Waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Imigresen dipanjangkan sehingga 10 malam manakala enam lagi dilanjutkan sehingga 6 petang mulai hari ini.

Enam premis yang waktu operasinya dipanjangkan sehingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis melanjutkan waktu operasi sehingga 6 petang.

Khairul Dzaimee juga berkata pihaknya mempunyai simpanan buku pasport yang mencukupi untuk menghadapi peningkatan permohonan dan pembaharuan pasport antarabangsa.

“Kita mempunyai bekalan pasport sebanyak 1.2 juta dan jumlah ini dianggarkan mencukupi sehingga Jun ini.

“Jumaat lepas, kita mengeluarkan sebanyak 165,449 pasport dan hari ini setakat 7 petang, kita merekodkan 208,607 pasport yang menyaksikan pertambahan lebih 40,000 pasport dikeluarkan dalam tempoh lima hari,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya membuat permohonan secara dalam talian bagi mempercepat proses permohonan pasport selain mengurangkan kesesakan di kaunter Imigresen. – BERNAMA