Debat perdana antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Esok jam 9 malam akan berlangsung Debat Perdana yang bakal menyaksikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas satu pentas bagi membicarakan isu semasa.

Penganjur debat yang terdiri daripada portal MalaysiaGazette, stesen televisyen Astro Awani, akhbar Sinar Harian dan Sin Chew sedang membuat persiapan untuk memastikan perjalanan debat berjalan lancar.

Kedua-dua pemimpin juga telah berbincang dengan moderator debat iaitu Editor MalaysiaGazette, Haslina AR Kamaluddin.

Najib yang singgah di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) untuk melihat persiapan debat ketika ditemui berkata, beliau berdoa segalanya berjalan dengan baik dan lancar.

“Debat ini merupakan satu kaedah yang produktif bukan sahaja untuk kami berdua malah untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Debat ini barangkali akan mencatatkan sejarah,” katanya sambil menggalakkan rakyat Malaysia yang tidak berpeluang ke Matic agar menonton secara Live.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninjau lokasi Debat Perdana di MATIC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2022.

Mengenai persiapan beliau untuk berhadapan Anwar, Najib berkata: “Setakat ini Alhamdulillah, kita tunggu malam esok.”

Sementara itu, Anwar dalam ciapan di laman Twitter berkata, ramai yang mempersoalkan keputusannya menerima pelawaan Najib untuk untuk berdebat.

Katanya, sudah berpuluh tahun beliau meminta untuk berdebat iaitu semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri dan juga perdana menteri.

Namun, menurut beliau, pada 2008 Datuk Shabery Cheek diwakilkan untuk berdebat dengannya kerana ketika itu isu harga minyak.

“Sekarang kalau tolak kata saya pengecut, bila saya terima kata saya mengangkat kedudukan Najib.

“Apa yang perlu harus saya lakukan, dengar debat esok,” katanya.

Debat Perdana Najib dan Anwar menyentuh dua perkara utama. Isu pertama melihatkan persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd. perlu diselamatkan atau sebaliknya.

Persoalan kedua berkaitan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

MalaysiaGazette akan menyiarkan debat perdana secara Live di portal, laman Faceboook dan Twitter.

Debat juga akan disiarkan secara langsung di Astro Awani, Sinar Harian dan Sin Chew. – MalaysiaGazette