Menteri Besar Dato Onn Hafiz Ghazi ( tengah) menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pengerang di Bandar Penawar,Kota Tinggi hari ini.

PENGERANG – Pindaan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan diselesaikan sepenuhnya sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Lantaran itu, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berharap pindaan di bawah Perkara 10 dan Perkara 48 dapat dibuat pada sidang Parlimen Julai ini selepas ditunda pada 11 Aprul lalu.

“Saya yakin RUU Anti Lompat Parti dapat dibentangkan dan diluluskan sebelum PRU15 dan pindaan ini merupakan langkah terbaik negara sebelum berdepan PRU nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut hadir di majlis berkenaan.

Menjelas lanjut, Azalina berkata, pindaan lompat parti ini penting dalam memastikan apa yang diundi oleh rakyat, mereka dapat.

Jika ahli Parlimen yang dipilih melompat (parti), maka kerusi yang dimenanginya perlu dipertandingkan semula.

“Pendekatan ini lebih adil supaya rakyat tidak rasa tertipu, saya melihat isu lompat parti ini sebagai satu yang positif terutama di bawah kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pindaan ini adalah persediaan berdepan dengan PRU15 ini, selain menyediakan pengundi dengan satu komitmen bahawa undi mereka berharga.

“Saya tak mahu pengundi undi A, tapi bila ‘katak’ melompat dia dia dapat B, itu sebab kerajaan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, kerajaan juga diminta meneliti semula beberapa undang-undang yang sudah lapuk dan tidak sesuai untuk digunapakai di negara ini.

Langkah ini bertujuan menjadikan pentadbiran negara dilihat lebih maju dengan sistem perundanganyang lebih efisien dan dikemaskini.

”Kita ini sudah berada dalam tahun 2022 ke tahun 2023, tapi banyak undang-undang lapuk dan perlu semak semula.

”Negara ini banyak undang-undang di zaman Kolonial British, kita kena tengok perubahan zaman, jadi kita kena ubah. Kena betul-betul buat penilaian supaya Parlimen yang membuat undang-undang itu lebih progresif,” tambah beliau. – MalaysiaGazette