Ramai orang dewasa atau yang mempunyai banyak pengalaman masih memegang stereotaip negatif tentang persepsi dan keupayaan belia.- Gambar hiasan.

15 MEI setiap tahun telah di lihat sebagai hari penting kepada negara dalam konteks mengiktiraf bakat dan potensi belia.

Bahkan, sejak akhir-akhir ini lanskap politik negara juga semakin memberi pengiktirafan kepada golongan belia namun hakikatnya masih banyak sektor pembangunan di negara ini masih belum mesra kepada penglibatan belia khususnya dalam sektor pekerjaan.

Ramai orang dewasa atau yang mempunyai banyak pengalaman masih memegang stereotaip negatif tentang persepsi dan keupayaan belia.

Penonjolan bakat dan potensi golongan belia mempunyai keupayaan yang besar dan mampu menguntungkan banyak pihak.

Jadi, bagaimanakah orang dewasa boleh memanfaatkan tenaga, semangat dan komitmen belia?

Bagaimanakah belia terlibat dalam isu dan tindakan apabila mereka di perlukan? Kuncinya ialah Youth-Adult Partnership (YA-P) atau Perkongsian Belia-Dewasa, yang mana kunci ini tidak di gunakan sebaiknya dalam menyantuni golongan belia kita dalam segenap aspek.

Perkongsian sejati wujud apabila setiap orang mempunyai peluang untuk membuat cadangan dan keputusan dan apabila sumbangan semua orang diiktiraf dan dihargai.

Perkongsian belia-dewasa apabila orang dewasa melihat golongan muda sebagai rakan kongsi penuh dalam isu yang dihadapi oleh belia dan program serta dasar yang mempengaruhi belia.

Berkongsi dengan belia kuasa untuk membuat keputusan bermakna orang dewasa menghormati dan mempunyai keyakinan terhadap pertimbangan orang muda.

Ini bermakna orang dewasa yang mengiktiraf aset belia, memahami perkara yang akan dibawa oleh belia kepada perkongsian, dan bersedia untuk memberikan latihan dan sokongan tambahan apabila belia memerlukannya (sama seperti ketika menyertakan orang dewasa lain dalam membuat keputusan).

Kedua-dua belia dan dewasa mungkin perlu menerima perubahan agar perkongsian itu berfungsi.

Sebagai contoh, orang dewasa mungkin perlu mengubah suai idea mereka tentang perkara yang akan dan tidak akan berfungsi dan tentang masa dan keadaan di mana kerja diteruskan.

Begitu juga, belia mungkin perlu memahami batasan dan realiti yang mempengaruhi pembangunan, operasi dan penilaian program.

Mungkin akan ada persoalan mengapa Perkongsian Belia-Dewasa ini menjadi suatu hal amat penting dan mendesak.

Perkongsian belia-dewasa timbul daripada keyakinan bahawa golongan muda mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam membangunkan program atau organisasi yang akan memberi manfaat kepada mereka dan hak untuk bersuara dalam membentuk dasar yang akan memberi kesan kepada mereka.

Selain itu, kumpulan aktivis pembangunan belia yang menggerakkan perkongsian belia-dewasa berpendapat bahawa program lebih mampan dan berkesan apabila belia menjadi rakan kongsi dalam reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaannya.

Kumpulan aktivis ini juga menegaskan bahawa keputusan penilaian adalah lebih jujur dan realistik apabila belia membantu dalam mengumpul dan menyediakan data yang berdasarkan penilaian.

Teknologi telah mengubah cara befikir, cara kehidupan dan cara bekerja generasi muda kita.

Mereka tidak lagi bercakap soal taraf hidup sebaliknya menekankan kepentingan kualiti kehidupan.

Hakikat yang berlaku, golongan belia tidak mempunyai masalah besar berurusan dengan orang dewasa dalam semua situasi.

Malangnya, golongan dewasa masih tidak berubah dan kekal mendakwa diri mempunyai pengalaman yang jauh lebih hebat sehingga memandang rendah kepada golongan belia.

Maka, perkongsian belia-dewasa semakin besar jurangnya dalam banyak objektif sukar di capai di dalam komuniti, tempat kerja dan arena politik.

Namun, jangan terkeliru atau terpedaya dengan kenyataan bahawa banyak peluang telah diberikan kepada golongan belia.

Perkongsian belia-dewasa bukanlah cara untuk menyembunyikan atau mengaburkan fakta bahawa sesuatu program direka, dilaksanakan dan dijalankan hanya oleh orang dewasa.

Ini di namakan Tokenisme, yang mana ianya bukan perkongsian.

Tokenisme boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Tokenisme boleh merangkumi tindakan seperti mempunyai orang muda di sekeliling tanpa peranan yang jelas untuk dimainkan seperti menugaskan belia hanya tugas-tugas yang tidak mahu dilaksanakan oleh orang dewasa.

Tokenisme juga boleh berlaku dengan cara melantik seorang belia dalam lembaga pengarah atau majlis untuk dirujuk sebagai “penglibatan belia” dan memberi peluang kepada belia membuat penampilan media tanpa sebarang suara dalam membangunkan mesej, program atau dasar yang dijangka dibincangkan oleh mereka.

Budaya buruk tokenisme ini amat menebal dan telah membuatkan golongan belia berasa digunakan dan bukannya diberi kuasa.

Kunci untuk mengelakkan tokenisme adalah untuk berkongsi dengan belia kuasa untuk membuat keputusan sebenar.

Perkongsian belia-dewasa menawarkan banyak perkara kepada belia, dewasa dan organisasi yang mengambil bahagian di dalamnya.

Perkongsian yang berkesan mungkin sukar dicapai. Walau bagaimanapun, faedah yang mereka tawarkan adalah luas dan ketara.

Langkah pertama adalah untuk mengakui bahawa belia mempunyai nilai dan bahawa sumbangan mereka mempunyai nilai.

Komitmen terhadap hak belia dan keazaman untuk mengiktiraf hak mereka dan mendengar suara mereka adalah permulaan untuk membina perkongsian belia-dewasa yang berkesan.

Selamat Hari Belia 2022.- MalaysiaGazette

MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN
Tokoh Belia Negara 2011 / Tokoh Belia ASEAN 2011