Lokasi kejadian tiga lelaki mengambil masa satu jam 45 minit untuk menyamun wang tunai berjumlah Rm3,580 daripada seorang wanita di rumahnya di Taman Kenanga Seksyen 2, Bachang, Melaka, semalam.

MELAKA – Tiga lelaki mengambil masa satu jam 45 minit untuk menyamun wang tunai berjumlah RM3,580 daripada seorang wanita berusia 50-an di rumahnya di Taman Kenanga Seksyen 2, Bachang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa seorang peniaga kerugian sebanyak RM2,000 dan S$500 (RM1,580) selain telefon bimbit dan tab melibatkan keseluruhan kerugiaan dianggarkan berjumlah RM6,500 termasuk wang tunai berjumlah RM3,580.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai mengambil masa satu jam 45 minit untuk melakukan jenayah berkenaan berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.

“Laporan kejadian diterima jam 6.20 pagi semalam apabila orang awam menghubungi polis memaklumkan berlaku kejadian samun di Jalan Kenanga 2/21 Taman Kenanga Seksyen 2.

“Berdasarkan laporan diterima, Pegawai Penyiasat bersama pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri dan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) IPD Tengah serta Pasukan Task Force Balai Polis Tengkera telah ke tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi semasa mangsa sedang tidur sebelum tersedar apabila mendapati tiga individu telah memecah masuk ke dalam rumahnya melalui pintu dapur.

“Mangsa kemudian telah membawa sebatang kayu rotan untuk menakutkan suspek, bagaimanapun salah seorang mereka bertindak merampas rotan berkenaan daripada mangsa sebelum menyelubungkannya menggunakan selimut dan menutup matanya dengan kain.

“Pada masa sama, mangsa dapat melihat dengan jelas dua lelaki menyelongkar rumahnya menyebabkannya kehilangan wang tunai sebanyak RM2,000, mata wang Singapura 500 serta sebuah tab dan telefon bimbit keseluruhannya dianggarkan RM6,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek juga memakai topeng kain menyebabkan mangsa tidak dapat mengecamkan wajah-wajah suspek selain tiada rakaman CCTV di dalam rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, terdapat rakaman CCTV di kawasan sekitar yang merakam pergerakan suspek dilihat telah menuju ke rumah mangsa pada kira-kira jam 4 pagi sebelum keluar pada jam 5.45 pagi.

“Hasil siasatan forensik daripada pasukan D10 IPK Melaka, sebanyak enam kesan cap jari berjaya ditimbulkan dengan empat kesan cap jari pada kabinet tempat simpanan wang dan dua lagi pada kabinet besi di dapur,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan. – MalaysiaGazette