Zolkifly Md. Lazim.

PULAU PINANG – DBM Hospital yang terkenal dengan khidmat perubatan bersalin telah membuka cawangan keempatnya di Batu Maung di sini semalam.

Seterusnya pihaknya menyasarkan dua lagi cawangan baharu dalam tahun ini, kata Presiden DBM Hospital, Zolkifly Md. Lazim.

Ketika merasmikan pembukaan cawangan baharu itu, beliau berkata, langkah diambil DBM Hospital yang menumpukan khidmat perubatan bersalin itu adalah atas faktor bahawa kadar pertumbuhan penduduk di negara ini sentiasa meningkat.

“Dalam satu kajian dari sebuah universiti tempatan, kadar pertumbuhan penduduk Malaysia pada tahun 1996 melibatkan orang Melayu sahaja sebanyak dua peratus.

“Itu tidak termasuk kaum CIna dan India serta etnik lain. Ini jumlah yang besar. Bermula dari situlah DBM Hospital memulakan khidmat hospital bersalin dan hari ini kita telah membuka cawangan ke-empat selain di Permatang Pauh, Batu Caves dan Klang.

“Kita sasarkan dua lagi cawangan baharu dalam tahun ini,” katanya.

Namun begitu, kata Zolkifly, jumlah hospital bersalin DBM itu serta khidmat bersalin dari lain-lain hospital yang terdapat dalam negara ini masih belum mencukupi berbanding kadar pertumbuhan penduduk yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Walaupun cawangan keempat ini baru dirasmikan serta belum beroperasi sepenuhnya namun kita sudah menerima tempahan serta pertanyaan. Ini menunjukkan keperluan khidmat bersalin di negara ini adalah tinggi.

“Malah, jika satu cawangan DBM dapat menampung 50 pesakit yang hendak bersalin selain 200 pesakit luar bagi tempoh sebulan, namun jumlah permintaan sebenar adalah berlipat kali ganda. Ini juga melibatkan lain-lain hospital bersalin yang terdapat dalam negara ini,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Zolkifly berkata, kajian juga menunjukkan  ibu-ibu mengandung yang hendak bersalin pada masa ini lebih tertumpu kepada khidmat perubatan yang mesra.

“Sebab itu semua hospital bersalin dalam negara ini memahami keadaan itu. Dalam keadaan ibu-ibu yang sarat mengandung, mereka pasti mahukan yang terbaik termasuk dalam menjaga emosi serta perasaan mereka ketika hendak bersalin.

“Menjaga emosi pesakit yang sarat mengandung ini penting kerana ia memberi kesan kepada pesakit dan juga bayi yang dikandung,” katanya.

Zolkifly juga mengumumkan DBM Hospital kini menawarkan biasiswa kepada penduduk Malaysia yang hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan pakar sama ada di dalam mahupun luar negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast