Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar Majlis Khas Jaminan Makanan diaktifkan semula.

Ini berikutan dunia ketika ini berhadapan dengan isu bekalan makanan dan Malaysia tidak akan terkecuali menerima tempias.

“Ini adalah masalah global. Malaysia tidak terkecuali dengan masalah bekalan bahan yang agak terjejas selepas pandemik. Sektor pengeluaran makanan berkurangan.

“Disebabkan itu, kita menghadapi masalah kenaikan harga bahan mentah, baja, harga makanan ternakan. Ini menyebab kos meningkat dan bila dipasarkan rakyat berhadapan dengan harga yang lebih tinggi daripada biasa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia berupaya untuk membangunkan sektor agromakanan, namun sektor berkenaan masih belum diterokai secara meluas.

“Antaranya berkaitan penggunaan teknologi serta bekalan tenaga kerja, ini semua perkara penting dan walaupun ketika endemik pun kita perlu ambil perhatian segera,” katanya.

Dunia termasuk Malaysia ketika ini berhadapan dengan isu bekalan baja dan makanan ternakan yang boleh menjejaskan bekalan makanan.

Kerisauan bertambah apabila Kerajaan India mengumumkan sekatan eksport gandum bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu.

Pada 30 April 2020, Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Jawatankuasa itu bagi menyelaras strategi serta pelan tindakan dalam menangani isu sekuriti makanan negara untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Ia dianggotai oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Menteri Kesihatan (KKM); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC); Menteri Pengangkutan (MOT); Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara seperti disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). – MalaysiaGazette