APMM Pulau Pinang sita bot nelayan kelas C yang didapati langgar syarat sah lesen.

BALIK PULAU – Taktik sebuah bot nelayan melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan gelap selain menggunakan pukat tunda terbongkar selepas mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan dikesan pada pukul 10.55 malam ketika pasukannya melakukan rondaan Op Pertiwi/Op Benteng.

Kata beliau, pihaknya mendapati bot nelayan tersebut bergerak dalam keadaan bergelap selain disyaki menggunakan pukat tunda bagi aktiviti menangkap ikan.

“Siasatan awal mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tekong warga tempatan bersama tiga kru warga Indonesia yang memiliki dokumen permaustatin tetap.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 44 hingga 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, bot terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Tekong, kru, bot peralatan menangkap ikan serta ikan campur dengan anggaran sebanyak 100 kilogram disita sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara,” kata beliau.

Orang awam boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan kejadian jenayah, kecemasan serta kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette