Masjid Kampung Kling yang berusia 200 tahun .

MELAKA – Hanya sebuah daripada 56 masjid lama berusia lebih 100 tahun di Melaka kekal asli tanpa pengubahsuaian yang merosakkan keasliannya.

Mendedahkan perkara itu, konservator berdaftar dengan Jabatan Warisan Negara, Kamaruddin Md Said berkata, baki 55 lagi masjid warisan sudah ‘terusik’ antara 10 hingga 60 peratus.

Menurutnya, pengubahsuaian membesarkan masjid bagi menambah bilangan jemaah masjid itu dibuat tanpa rujukan dengan pakar sejarah sehingga merosakkan keaslian masjid berkenaan.

Kamaruddin Md Said

“Setakat ini, hanya Masjid Kampung Kling yang berusia 200 tahun kekal tanpa pengubahsuaian yang menggugat keasliannya berbanding 55 masjid lama lain yang sudah ‘terusik’.

“Kita tidak salahkan kariah masjid kerana mereka terpaksa ubah suai untuk tambah kapasiti jemaah, namun sayangnya ia dibuat tanpa rujukan kepada pakar sehingga telah menggugat keaslian masjid berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Yang Lama Dikelek-Menyantuni Bangunan Warisan’ pada Bengkel Konservasi: Pemulihan Dan Pemuliharaan Warisan Ketara di sini semalam.

Bengkel tiga hari berakhir hari ini melibatkan 150 peserta daripada pelbagai jabatan seluruh negara termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Mengulas lanjut, Kamaruddin yang juga arkitek selama lebih 30 tahun berkata, 55 masjid lain yang diletakkan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 Warisan telah rosak atas pelbagai faktor.

“Sebagai contoh, ada masjid lama di Serkam yang strukturnya masih sama, namun kubahnya telah ditukar kepada besi dan inilah yang menjejaskan keaslian masjid.

“Masjid Kampung Kling berasib baik kerana kawasannya yang sempit jadi ruang solatnya memamg tidak boleh dibesarkan lagi menyebabkan ia kekal asli,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya kariah sesebuah masjid khususnya yang berstatus warisan perlu lebih peka dan sensitif terhadap usaha mengekalkan keasliannya

“Kita bimbang, tanpa pengetahuan tentang sejarah, ia akan merisikokan masjid-masjid warisan ini ‘rosak’ untuk tatapan generasi akan datang.

“Saya cadangkan, mungkin mereka boleh terlebih dahulu merujuk kepada pakar-pakar di universiti negara dan agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM),” katanya.- MalaysiaGazette