Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment di bawah Program Rawatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (MRT AADK) di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2022.

KAJANG – Dianggarkan 5,877 penagih yang selesai rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kembali menagih pada tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu adalah daripada 15,000 penagih yang selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan masing-masing.

Menurut beliau, kadar pemulihan penagih di AADK pula adalah sekitar 65 peratus.

“Pada tahun 2021, penagih di AADK dalam komuniti adalah berjumlah 73,113 orang dan di dalam institusi seramai 7,133 orang.

“Beberapa faktor telah dikenalpasti yang menyebabkan penagih dadah ini kembali termasuk kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga, pandangan serong masyarakat kepada bekas penagih, sikap individu itu sendiri dan pengaruh kawan-kawan.

“Sehubungan itu, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap individu yang terlibat dengan permasalahan dadah mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan terbaik bersesuaian dengan keperluan dan keadaan semasa semasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) Bagi Bagi Program Rawatan Dan Pemulihan Penagihan Dadah AADK (MRT AADK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah menambah, MRT AADK ditubuhkan bagi memberi khidmat kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.

Jelas beliau, perkhidmatan itu disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan oleh pasukan MRT AADK di 14 buah pejabat AADK negeri di seluruh negara.

“Setakat ini, dua buah pasukan MRT AADK yang terdiri daripada pegawai yang berkemahiran dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah telah dibentuk di setiap negeri.

“Projek rintis MRT AADK ini telah dilaksanakan kepada banduan yang terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2021 dan mendapat respons yang baik daripada banduan yang terlibat.

“Kerjasama antara AADK dan Jabatan Penjara Malaysia juga merupakan satu pendekatan penyelesaian masalah atau problem solving approach bagi mengatasi masalah banduan dadah yang kembali menagih.

“Ia juga bagi meningkatkan kadar pematuhan mereka untuk menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dalam Komuniti AADK selepas mereka dibebaskan kelak,” katanya. – MalaysiaGazette