Home Utama Undian Cabang PKR Hulu Selangor disabotaj terpaksa ditangguhkan

Undian Cabang PKR Hulu Selangor disabotaj terpaksa ditangguhkan

HULU SELANGOR – Pemilihan Parti Keadilan Cabang Hulu Selangor yang dijadualkan berlangsung di Golf & Resort Bukit Beruntung terpaksa dibatalkan hari ini selepas pusat pengundian kosong’tanpa sebarang kemudahan mengundi termasuklah kerusi meja.

Mengikut panduan pemilihan parti itu, logistik sepatutnya disediakan oleh penyandang cabang yang diketuai oleh June Leow yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor mengikut panduan pemilihan parti itu.

Hulu Selangor merupakan salah satu daripada 22 cabang PKR di negeri itu.

Wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi di Golf & Resort Bukit Beruntung  mendapati dewan tempat mengundi itu bukan sahaja kosong malah tidak ada apa-apa persiapan dilakukan.

Malah, ada tempat di situ dijalankan aktiviti badminton.

Pemilihan lokasi dewan itu dipilih oleh calon-calon bertanding sejak sebulan lepas pada tiga mesyuarat antara Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan wakil-wakil calon.

Kerusi dan meja hanya tiba sekitar jam 9.15 pagi, walhal undian bermula sekitar 9 pagi.

Para pengundi pula sudah mula menunggu sejak jam 7.30 pagi lagi.

Sepatutnya malam tadi lagi persiapan telah dilakukan dan pagi ini undian fizikal dengan ribuan ahli sudah bersedia untuk mengundi.

Jurucakap JPP merangkap Kordinator Negeri, Mazli Saring.

Menurut jurucakap JPP yang juga Kordinator Negeri Selangor, Mazli Saring, pihak tertinggi pusat telah mengambil keputusan untuk membatalkan pengundian pada hari ini atas alasan tiada kemudahan lengkap yang ditetapkan dalam peraturan parti.

“JPP tidak sediakan kemudahan-kemudahan ini, kedua tidak ada sebarang komunikasi juga seperti yang didakwa oleh pihak June. Saya tidak mahu bercakap panjang atau tuding jari. Kita biarkan JPP Pusat buat keputusan.

“Sepatutnya yang uruskan kemudahan-kemudahan bagi undian pagi ini dilakukan oleh ‘caretaker’ Cabang Hulu Selangor. Tetapi hampir dua jam,  pihak ini tidak dapat sediakan kemudahan dan pemilihan pusat mengambil keputusan batalkan pengundian untuk hari ini.

Calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (dua dari kanan) meluahkan rasa kecewa dengan insiden penangguhan pemilihan Cabang hari ini.

“Tindakan selanjutnya akan di laporkan dalam masa terdekat dan JPP Pusat akan mengeluarkan pembatalan pada terdekat,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Mazli juga menafikan JPP tersilap pandang dan tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang didakwa oleh June yang juga mantan Ketua Cabang Hulu Selangor selama dua penggal.

Keadaan Dewan bagi proses pengundian Cabang Hulu Selangor Pemilihan PKR yang kosong tanpa apa-apa persediaan sekitar jam 10 pagi tadi.

“Jangan salahkan JPP. Saya ada semua bukti dan fakta. Jangan cakap, ini juga bukan masa saya untuk salahkan sesiapa kerana ini soal parti, saya tidak mahu cakap panjang dan biarkan pusat jalankan siasatan serta keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, June mendakwa sebarang cadangan dan perancangan beliau tidak mendapat ‘layanan’ JPP sejak tiga minggu lepas.

Sumber yang enggan dinamakan juga mendedahkan insiden ini seperti sabotaj kerana rata-rata pengundi yang sudah menunggu sejak jam 7.30 pagi adalah penyokong dua calon lain manakala penyokong satu lagi kem pula telah diminta hadir sekitar 2.30 petang lagi.

Jurucakap JPP merangkap Kordinator Negeri, Mazli Saring secara rasmi mengumumkan pembatalan atau penangguhan pemilihan Cabang Hulu Selangor sebentar tadi di sertai oleh ketiga-tiga calon Ketua Cabang.

“Jika kem penyandang Cabang Hulu Selangor semalam boleh sediakan khemah serta poster dinaikkan sehingga jam 2 pagi, mengapa mereka tidak boleh sediakan tempat undian seperti yang termaktub dalam garis panduan pemilihan parti? Bukankah ini di sengajakan?

“Kita juga tahu pihak lawan sudah hidu ada kemungkinan mereka akan kalah pada undian hibrid tiga hari lepas maka pelbagai cara digunakan termasuklah dakwaan  wang dan ini pula seperti sabotaj tempat undian sehingga undian dibatalkan hari ini.

“Jika benar-benar mahu bertanding untuk masyarakat Hulu Selangor, untuk rakyat, untuk perjuangan reformasi, adakah ini caranya? Pengundi kita termasuklah yang OKU, guna kerusi roda, warga emas duduk dalam panas terik, jalan kaki ke pusat undi. Adakah benar-benar kisahkan rakyat atau retorik sahaja? Ini soal maruah parti,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast