Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan tanda harga ayam di sekitar Johor Bahru, Johor.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kecewa dengan tindakan beberapa buah syarikat pembekal ayam yang menghentikan bekalan ayam di negara ini.

Justeru itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini telah mengambil beberapa pendekatan drastik jangka pendek terhadap permasalahan itu.

Antara pendekatan yang diambil ialah menghentikan eksport ayam berjumlah 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun depan, sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, ujarnya.

“Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

“Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, dua lagi langkah yang akan dilaksanakan kerajaan adalah mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar akan kewujudan kartel yang didakwa mengawal harga dan pengeluaran ayam yang dipelopori syarikat-syarikat besar.

Tambah beliau, kerajaan menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara itu dan ia dijangka selesai pada Jun ini.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu. – MalaysiaGazette